Thursday, August 20, 2009

Penyatuan Semula Kedua - 4 Julai 2009









































Pada tanggal 4 Julai 2009, DIB ITM Class of 1985 telah menganjurkan majlis Pertemuan Semula (Reunion) di Intekma Resort and Convention Centre, Seksyen 7 Shah Alam.

Berikut adalah beberapa gambar-gambar yang sempat dirakamkan pada majlis tersebut.

Friday, August 14, 2009

Zaman Kanak-Kanak Riang - Episod Terakhir

....kerana dia sekadar menunaikan janji aku kepadanya.

Aku ni kan dari kecil lagi memanglah dah tergagap-gagap kalau bercakap. Si Peridah ni busy body, dia cakaplah kepada aku

"Eh Subadri, orang tua-tua kata ubat budak gagap macam kau ni, bila tergagap-gagap tu kita bagi pelempang, dia mesti baik".
"Habis tu kenapa?" aku tanya.
"Boleh tak kau izinkan aku lempang kau bila kau gagap? Tapi janji kau jangan marah aku tau" Peridah minta kepastian.
"OK jugak tu, aku pun teringin nak baik" jawab aku pulak.....tak sangka yang dia ambil serious pasal tu. Jadi pada hari yang malang tu, sedang aku bercakap-cakap dengan dia di dalam kelas, dia pun dengan tak rasa segan dan malu terus
"Paaannng!!!" dilempangnya aku dengan tangan kirinya (Peridah ni kidal). Fuh, keluar bintang kau.

Sumpah aku takkan berjanji lagi dengan budak perempuan macam Peridah. Gagap tak baik, pening lalat yang aku dapat. Tetapi kerana dah berjanji punya pasal, terima sajalah padahnya. Satu peristiwa lagi yang aku takkan lupa ialah sewaktu banjir besar yang melanda Kg Baru/KL. Tenggelam bawah rumah Datuk Leman aku. Tetapi aku dan adik beradik yang tak pernah punya pengalaman banjir tak bazirkan masa, main air banjirlah.

Oh ya tak ya, aku belum cerita lagi bila aku berkhatan kan? Oleh kerana itu hal terlalu personal, aku tak mau ceritalah. Malu. Anyway, kami adik beradik semua berkhatan dengan abang nenek (pakcik emak aku), namanya Wak Noor (arwah) yang tinggal di Kg Sg Ramal Dalam, Kajang. Wak Noor ni punya handal nyunatkan orang, sampai Sabah Sarawak pun dia kena panggil. Tahun 1975 juga merupakan tahun di mana Malaysia menjadi tuan rumah Hoki Piala Dunia. Apalagi, akupun jadilah pemain hoki dengan kawan-kawan sekampung. Pada bulan puasa, aku ikut kawan kawan pergi berbuka puasa dan sembahyang maghrib, isyak dan seterusnya berterawih di Masjid Jamek Kg Baru(Masjid Reformasi). Petang hari kami bersantai di Jalan Perkins (Jalan Raja Alang - tengok gelagat dan aktiviti pasar Ramadhan).

Selain dari kawan-kawan sekampung, aku juga rapat dengan Khafidz di luar waktu sekolah. Hujung minggu saja, aku mesti hilang pergi jumpa dia. Ronda satu Kg Baru dengan basikal chopper dia. Di sekolah, prestasi akademik aku bolehlah dikatakan cemerlang juga. Aku dapat No 3 dlm darjah, kira murid lelaki paling terror. Arman, murid lelaki kedua terbaik No 9. Dipendekkan cerita, satu hari tu di hujung tahun 1975, Mrs Cheah, guru besar masuk darjah untuk mengumumkan nama murid-murid yang berjaya ke sekolah elit. Lelaki ke VI dan perempuan pula ke SMP Convent Bukit Nenas. Aku, Arman dan Shaharuddin ke VI. Khafidz dan ramai lagi ke SM Jalan Maxwell sementara Peridah dan Saleha ke SMP Jalan Ampang. Bila bercerita pasal hal ini, betul betul buat aku kesal sebab dalam kami berempat, akulah yang sangat bertuah dapat ke VI. Sayangnya, aku tak gunakan kesempatan belajar dengan baik (refer to WARISAN SEJARAH)

(Khafidz sekarang seorang doktor perubatan yang berjaya, ada beberapa buah klinik, yang utama di Taman Industri Kajang, Klinik Khafidz namanya. Peridah pula pensyarah matematik Fakulti Kejuruteraan di UiTM, Pulau Pinang. Saleha jadi pengusaha TASKI berdekatan dengan rumahnya di Kg Baru Melayu Ampang. Dia tak habis belajar jurusan perubatan di UKM, sebabnya aku sendiri kurang pasti. Dengar cerita dari Peridah, dia belum kahwin. Hingga ke hari ini, kami berempat masih lagi saling berhubungan antara satu sama lain)

Masa aku berulang dari rumah Datuk Leman ke VI, aku naik bas Sri Jaya di Chow Kit, tambang 15 sen kalau tak silap ingatan aku. Baliknya tunggu kat Toshiba juga naik bas Sri Jaya. Waktu itu, Central Market masih pasar basah lagi. Pasar basah biasa, jual ikan, sayur, ayam, daging, rempah ratus dan macam-macamlah lagi yang ada dijual di pasar. Dua peristiwa besar sewaktu aku tinggal di KL ialah peristiwa Japanese Red Army tawan American Embassy di Bangunan AIA Jalan Ampang dan terbakarnya bangunan Pusat Beli Belah Campbell.

Tahun 1977 rumah kami di Paya Jaras pun sudah siap, sedia diduduki. Maka pada November 1977, kami pun berpindah lah ke Paya Jaras. Jadi, begitulah berakhirnya cerita aku di zaman kanak-kanak yang dapat aku kisahkan sebegitu ringkas. Sekadar mahu kongsikan pengalaman dengan anda

Thursday, August 13, 2009

Zaman Kanak Kanak Riang - 4

Suatu hari dalam bulan Julai 1974, emak dikejarkan ke Hospital Besar Ipoh kerana nak bersalin. Setelah separuh hari, akhirnya kami mendapat berita bahawa emak telah selamat melahirkan adik kami, seorang perempuan. Kata abah, perut emak terpaksa dibedah. Akupun terfikir "eh, selama ini macamana kitaorang keluar dari perut emak?" Emak sangat gembira kerana akhirnya Allah SWT kurniakan jua kepadanya seorang anak perempuan. Manakan tidak, 7 orang anak lelaki semuanya dengan bermacam-macam perangai. Masa pun berlalu sehinggalah pada suatu hari, kami adik beradik mendapat tahu yang kami sekeluarga akan berpindah ke Kuala Lumpur, ibunegara Malaysia, kota metropolitan. Rupa-rupanya, abah telah lama memohon untuk berpindah balik ke KL dan permohonannya diluluskan juga. Itu bererti, abah akan mula mengajar di SM Vokasional Setapak, KL pada Januari 1975. Dan aku, akan berpindah sekolah ke KL, hai lagi setahun je aku tamatkan sekolah rendah. Aku terpaksa tinggalkan kawan-kawan setia aku, oh tidak, tidak..... Pada November 1974, akupun tinggalkan Ipoh yang aku harap akan datang lagi tetapi entah bila. Abah kata kami akan "tinggal sementara" di rumah datuk Leman di Kg Baru, KL sementara tunggu rumah yang abah nak bina di Paya Jaras, Sg Buloh siap. Aku telah menyambung pelajaran darjah 6 di SRJK Jalan Raja Muda (bersebelahan Masjid India Jln Raja Muda dan pasar Chow Kit). Hari pertama aku masuk sekolah, malu tak dapat dibendung kerana itulah pertama kali aku sekelas dengan murid2 perempuan, aku tak bolehlah, aku tak biasa, aku malu. Puan Rosmah, guru kelas 6A memperkenalkan aku dengan murid-murid yang bakal sekelas dengan aku.

Malunya......kemudian aku disuruh duduk di barisan belakang sekali dengan seorang budak perempuan yang dari gelagatnya, tak sudi langsung memandang muka aku. Namanya Peridah. Dia kata polis yang waktu bapak dia daftarkan sijil kelahirannya, tak reti eja, Faridah jadi Peridah. Lojik juga kerana adik dia di darjah lima namanya Fatimah. Budak-budak sekolah tu panggil aku "Budak Perak". Di arena sukan, aku wakil sekolah dalam permainan badminton dan tak lain tak bukan, bolasepak. Terror tu tak lah sangat, tapi ternganga jugaklah mulut budak-budak tu tengok aku main. Nah, baru kau kenal siapa "Budak Perak" ni.

Dalam kelas pula, aku mula rapatkan hubungan dengan semua rakan sekelas tetapi yang paling rapat sekali selain Peridah ialah dua orang yang duduk di hadapan kami, Khafidz dan Saleha. (Aku dan Khafidz gelarkan Peridah "Ronson" kerana suka report hal kepada Puan Rosmah manakala Saleha pula "Botak Chin" kerana bapak dia Pak Amin tu botak). Dalam kelas aku juga ada budak yang paling jahat dalam dunia, nama dia Reduan dan seorang yang baik hati nama dia Malik. Terbalik pulak, Malaikat Reduan jaga pintu syurga, Malaikat Malik penjaga pintu Neraka. Aku ingat lagi pada suatu hari dalam kelas di mana aku telah ditampar oleh Peridah kerana ......

Zaman Kanak-Kanak Riang -3


...........tak lain tak bukan, klinik gigi sekolah yang terletak di hujung blok darjah 6. Yang aku sangat geram ialah setiap kali nurse nyonya atau pembantu dia datang ke darjah aku, nama aku mesti naik. Kelabu asap punya doktor! Itu sebab sampai ke hari ini, dah tua - tua ni, aku sangat fobia dengan klinik gigi. Ada suatu ketika, keluarga kami didatangi oleh beberapa orang tua yang emak dan abah kata saudara dari kampung, Kajang. Nenek, datuk dan makcik aku. Maka tahulah aku bahawa aku sebenarnya bukan orang Ipoh, tetapi asal keturunan aku ialah Kajang (sebelah emak) dan KL (sebelah abah). Dan aku dengar mereka bercakap dengan satu bahasa yang tak pernah aku dengar selama ini. Bunyinya lebihkurang "kelentang, kelentung". Emak kata itulah bahasa ibunda kami iaitu bahasa Jawa, aku ni keturunan Jawa rupanya dan Selangor adalah negeri kampung halaman kami sekeluarga. Jawa? Ah, apa pulak? Aku orang Ipoh, kawan-kawan aku semua ada di Ipoh dan bila musim bolasepak Piala Malaysia, aku akan ikut abang Yasin tengok bola di Stadium Ipoh dan bersorak untuk pasukan negeri Perak.

Di Taman DR Seenivasagam, aku mengasah bakat bermain bolasepak. Kebetulan, kami ada seorang kawan bermain namanya Razif kalau tak silap aku. Tetapi cara dia cakap ada sedikit pelik. Lagu ni, lagu tu, mai sini, biag pi.....eh apa punya bahasa budak ni cakap ni? Kata hati aku. Emak kata itu cara cakap orang Utara - PPinang, Kedah atau Perlis. Di padang itulah juga pasukan negeri Perak berlatih dan pada suatu hari aku bersemuka dengan bintang bolasepak Malaysia, Syed Ahmad. Gol jaringan Syed Ahmadlah yang telah menewaskan Korea Selatan dan seterusnya melayakkan Malaysia ke Temasya Sukan Olimpik di Munich pada tahun 1972. Sekarang jangankan kata nak tewaskan Korea Selatan, lawan Vietnam pun tak boleh makan. Bila aku dah pandai naik basikal (darjah 4 lah agaknya), aku pun rajinlah merayau-rayau ke tempat berdekatan seperti Green Town, Fair Park, Jalan Padang Tembak dan Kg Simee. Jika mahu pergi ke rumah kawan-kawan yang jauh sedikit seperti Sg Rokam, Jln Kuala Kangsar, Gunung Rapat dan Pasir Pinji, aku akan naik bas. Mungkin pada waktu itu, kadar jenayah sangat rendah maka emak dan abah pun tak keberatan melepaskan aku berjalan. Kadang-kadang bila cuti sekolah, abah akan bawa kami ke sekolah Vokasional tempat dia mengajar (sebelah rumah je). Tetapi sekolah abah lain dari sekolah-sekolah lain yang aku tengok. Ada batu bata dan simen (Jabatan Bangunan) ada jentera berat (Jabatan Mesin) ada kerja kimpalan (Jabatan Kimpalan) dan yang paling best, pejabat abah adalah di Jabatan Motor Mekanik - ada lori, ada van dan ada jip 4X4. Rupa-rupanya abah guru repair kereta dan yang sewaktu dengannya. Aku pun naik atas lori dan pandu (buat bunyi lori pakai mulutlah).

Satu perkara yang aku perhatikan tentang abah, dia tidak pernah utamakan kerjanya melebihi keluarganya. Sungguhpun dia sangat garang dan bengis mendidik kami, dia akan dulukan kami dari segala-galanya. Masa berlalu kami tujuh beradik hidup bersama-sama hinggalah pada tahun 1974 (aku di darjah 5) emak kata kami nak dapat adik (lagi).

Zaman Kanak-Kanak Riang - 2

...oleh sebab tak dapat menahan tension, aku menangis. "Bad takutlah mak, nanti cikgu pukul Bad..." ngada-ngada nya aku."Dahlah jangan menangis, takde apa-apalah, dah tu jangan nangis. Kalau Bad baik, cikgu tak pukul...." mak bagi jaminan. Abang Yasin (#1) menemani aku masuk darjah 1 di SRJK Cator Avenue yg letaknya di belakang Sekolah Anderson. Cikgu aku, Mrs Pei. Aku ingat lagi nama beberapa kawan sedarjah aku dari darjah 1 hingga darjah 5 iaitu Noor Hakimi, Osman Salleh, Kamaruzzaman, Sivalingam, Sivaneesan, Zaini Zakaria, Zaini Zaid, Adnan, Lokman, Shamsul, Chan Mun Kit, Ahmad Nasaruddin, Joginder Singh dan Lim Yau Chee.

Terlalu banyak kenangan sewaktu aku di sekolah rendah. Dari kecil lagi prestasi akademik aku lebih baik dari abang-abang aku yang lain. Itupasal lah agaknya kedua abah dan emak sangat mengharapkan aku membawa sinar kecemerlangan dalam hidup mereka (Ingat kekecewaan mereka bila aku gagal SPM tahun 1980 seperti yang telah aku kisahkan?). Sekolah sessi petang, pergi kena awal, nak main bola lah apalagi. Tahun 1973 satu hari tu, 'geng' aku bercadang nak lantik kapten bola kelas 4A caranya, siapa yang berjaya score goal, dialah kapten. Nak tahu siapa jadi kapten kelas 4A? Laa, yang menulis e-mail nilah orangnya! Selalunya duit belanja yang emak bagi memang tak cukup, 15 sen mana cukup? Akupun carilah abang Emi mintak bantuan. Emi tak pernah hampakan aku - adiklah katakan walaupun duit belanja dia sendiri pun tak cukup. Tetapi Emi tak main bola, dia memang tak reti bersukan. Selain bolasepak, kami main galah panjang di court badminton dan 'chapping' - kauorang tau chapping? Dan kerana kuat bersukan, 2 kali aku patah tulang. Pertama, darjah 1 patah jari tunjuk kanan dan yang kedua, darjah 3 patah tangan kanan kerana lompat tinggi, jatuh atas tanah. Mengamuklah bapak aku kerana terpaksa bawa aku ke hospital. Dah bersimen tangan......

Darjah 3 juga aku belajar naik basikal. Abg Yasin lah yang jadi trainer aku. Peristiwa yang aku tak boleh lupa, dia pegang belakang basikal dan dia suruh aku kayuh. Diam-diam dia lepaskan pegangan dan aku pun kayuh bersendirian. Bila tersedar abg Yasin takde belakang aku, aku panik dan cuba brek, dengan kaki. Apa lagi, tersagatlah kaki aku kat jalan, tercabut kuku ibujari kanan kaki aku. Aduuuh, rasanya....lemak berkrim. Dulu-dulu kita cuma ada basikal, mana ada motorsikal? Dengan berbasikal lah kami adik beradik pergi sembahyang Jumaat di Masjid Negeri di Ipoh melalui tepi Sungai Kinta. Abah naik motor Honda Cup dia, AT6454. Motor itulah yang abah hadiahkan aku pakai kat ITM dulu (part 5 dan part 6) - macamana tak rosak je, 10 tahun punya motor hari-hari panjat bukit Shah Alam. Yang pelik bin aneh, kedua-dua insan yang pernah menjadi penunggang setia motor Honda Cup tu, orang Perak. Pertama, room-mate dan classmate akulah, Acid Punk dan yang kedua...yang kedua....cukuplah kau orang saja yang teka sendiri. Tetapi ada satu sebab aku sangat benci kepada zaman kanak-kanak aku di SRJK Cator Avenue iaitu... bersambung

Zaman Kanak-Kanak Riang


Salam sejahtera keatasmu,


Aku memandu dalam hujan tadi mahu pulang kerumah. Jalan yang basah dan licin telah membuat aku memandu dengan berhati-hati. Ya, hujan memang banyak membawa kenangan. Sedang aku memandu, entah mengapa tiba-tiba fikiranku menjelajah jauh di zaman aku masih kanak-kanak lagi, bermain di dalam hujan dengan penuh gembira.


Tak pernah langsung terfikir nak demam atau sakit. Sayang, anak-anak aku tak merasa keriangan bermain dalam hujan kerana aku dan isteri memang tak bagi - manakan tidak, asal kena hujan je, demam.....pening.....Mungkin kerana kandungan air hujan sekarang dah tak sebersih dan sebening air hujan dulu masa aku budak-budak. Kecuali yang sulung Zainul (dia ni memang hantu air, dari kecik suka main air) yang lain tu takde bakat langsung. Masa kecik-kecik dulu, abang aku, Emi (#4) lah yang menjadi kawan bermain. Abang-abang yang lain dah "too big" dan tak campurlah dgn kami ni. Johan (#6) dan Adik (#7) masih kecik lagi. Hujan turun saja, apalagi, bukak baju tinggal seluar pendek saja, kecebuuuurrr! main hujan. Kadang2 abang Jali (#3) pun joined sekali. Aku mula saja sedar yang aku hidup sebagai manusia, berada di sebuah bandar yang bernama Ipoh.


Tinggal di kuarters guru, dalam kawasan Sekolah Vokasional yang berhampiran dengan Sekolah Anderson, Hospital Besar Ipoh dan Taman D.R.Seenivasagam. Tahun 1967, waktu tu lebih kurang 4 tahun lah agaknya umur aku. Emak seorang yang lemah lembut dan baik hati tetapi bapak aku Cikgu Said, masya Allah garang nak mampus! "Baaaad, Emiiiii dah tu berhenti main hujan tu.... nanti demam!" jerit emak dari dalam rumah. "Nantilah lah mak, orang baru je main....Bad jadi Ultraman ni....Emi jadi monster" aku balas."Baru main apa? Dah dekat sejam korang main hujan dah. Nantilah abahkau balik kena sebat mak tak tau..."I say man, bila mak sebut je Abah, kami jadi takut dan apalagi, masuk lah rumah.... Kami semuanya 8 beradik, 7 lelaki seorang perempuan, yang bongsu. Yang aku ingat, waktu tu Yanti belum lahir, Rashidi @ Adik masih kecik. Mak, suri-rumah sepenuh masa dan Abah mengajar di Sek Vokasional. Abah aku punya garang orangnya, Tuhan je yang tahu. Kalau abang-abang aku buat jahat, ialah bergaduh ke, balik lambat ke atau apasajalah istilah jahat, abah aku kalau belasah, ya rasul, boleh tangkap nangis. Itu belum sepak terajang dia lagi. Tetapi itu cerita abah yang garang, yang baiknya pun ada. Nanti aku cerita.


Ok, mari aku sambung cerita aku. Aku nak masuk sekolah darjah satu. Takuuut! Dulu-dulu kita tak pergi tadika. Jangankan kata pergi, dengar pun tak. Tau tau aje mak kata aku nak masuk sekolah. Beg dah beli, buku-buku pun siap dah. Pagi tu lepas mak pakaikan seragam sekolah, mak sikatkan rambut aku dan .................