Tuesday, July 27, 2010

AKU BUDAK KAMPUS - Meniti Cerun-Cerun Kehidupan 6




Kesepuloh

Jika aku boleh rangkumkan dan gabungkan sekali, selama 36 bulan aku di kampus Shah Alam merupakan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Dari hari pertama kedua kakiku melangkah masuk ke kawasan kampus, dengan penuh hati-hati aku belajar meniti cerun-cerun bukit yang curam lagi licin, hinggalah ke hari terakhir sebelum kedua kakiku melangkah keluar dari kawasan kampus, semua pengalaman yang aku timba adalah pengajaran buat ku.

Seperti yang kalian semua kenali, aku sentiasa berada di pertengahan. Tidak tinggi rendah pun tidak. Tidak nakal, baik jauh sekali. Best student atau Dean's List bukan milik ku, tetapi repeat atau gagal tak pernah. CGPA, cukuplah sekadar dapat diploma. Playboy, ehhh seliseh malaikat 44 tak ada, tapi kawan perempuan special memanglah dulu ada (seorang dua). Motor scrambler aku tak punya, cuma sekadar motor kapcai tua yang banyak berjasa. Tidak lancar berbicara dan pandai berpidato, namun aku tak lah bengap dan bisu, sekadar cakap perlahan2 tu adalah. Bukan juga aku seorang olahragawan kebanggaan teman-teman sekursus, tetapi boleh tahan juga kerana aku kapten olahraga kolej tau, wakil Universiti M'sia pula.

Kepada anda semua yang sama-sama mengikuti kursus DIB maupun kursus-kursus yang sewaktu dengannya, terima kasih kerana pernah suatu waktu dulu menjadi teman seiringan ku khasnya kepada kawan-kawan DIB A. Semuga pendedahan yang sedikit ini tentang pengalaman ku, akan dapat membuka semula buku memori kalian semua.

Dan akhir sekali, sebelum aku mengundur diri, aku mohon berbanyak-banyak ampun dan maaf akan setiap kesalahan dan kekurangan ku dari dulu, 25 tahun dulu, hinggalah saat aku mengakhiri topik aku ini.

Kepada yang akan menghadhiri Reunion Jubli Perak (25 tahun) DIB/DIIA pada 31/7/2010 nanti, selamat berjumpa semula, insya Allah.

Sunday, July 25, 2010

AKU BUDAK KAMPUS - Meniti Cerun-Cerun Kehidupan 5




Ketujuh

Kekecewaan seperti satu kelaziman dalam kehidupan kampus yang pernah aku lalui. Satu demi satu kekecewaan aku alami menyulami pengalaman suku, duka, pahit dan manis. Namun, memang menjadi harapan serta doa-doa aku agar apabila ketikanya kaki ku melangkah keluar dari kampus ITM Shah Alam, biarlah kejayaan mengiringinya.

Kecewa datang dalam berbagai bentuk dan rupa. Namun ia datang tanpa mengira waktu dan berpunca bukan saja diri sendiri, tetapi insan lain juga. Kecewa yang paling tidak boleh aku lupakan ialah apabila melihat seorang kawan dikecewakan hatta menewaskan rasa-rasa kecewa yang aku sendiri pernah lalui. Peristiwa berlaku di semester 5. Aku bukan seorang yang pandai mengubati kekecewaan orang lain sedang aku sendiri kerap dibelenggu perasaan kecewa. Mungkin kerana itu, dua manusia yang telah kecewa saling mengubati hati masing-masing dan akhirnya, di semester 6, kami telah berjanji akan meninggalkan semua rasa kecewa dan membina kekuatan untuk menghadapi masa hadapan yang jauh lebih mencabar.


Kelapan

Sewaktu menjadi OC (Orientation Commitee) di semester 5, aku telah berjumpa dengan seorang kawan sekolah rendah, Zaini bin Zaid, pelajar baru (freshie) mengambil kursus Seni Lukis dan Seni Reka. Zaini adalah rakan sekelas di SRJK (Ing) Cator Avenue, Ipoh tidak lagi bertubuh gempal seperti dulu. Namun, kemahirannya bermain bolasepak semakin menjadi kekaguman ku.

Kesembilan

Lain subjek yang di belajar (saat akhir), lain pula subjek yang periksa. Peristiwa mencemaskan tetapi melucukan ini berlaku di semester 6 bilamana pada satu hari Ahad, aku telah ke Stadium Merdeka di KL untuk mengambil bahagian dalam kejohanan olahraga Selangor Juniors. Menang pingat emas dalam acara lompat kijang. Balik ke kampus dah senja dan dalam keadaan tergesa-gesa, melihat jadual peperiksaan. Alamak! subjek MGT321 Banking Practice (Legal) esok jam 2 petang di Dewan Sri Budiman.

Belajar punya belajar hingga lewat malam dan keesokan harinya tatkala tiba di DSB. Sungguh memeranjatkan apabila melihat di papan hitam luar dewan tertulis "ACC376 Auditing 2.00 - 4.00 pm". Habis aku, selamat, kaput, repeatlah aku semester 7!!

Keputusan akhir di skrip peperiksaan yang saya terima, ACC376 Auditing - 1.00.......ya beda beduuuuu lulus!!!

Monday, July 19, 2010

AKU BUDAK KAMPUS - Meniti Cerun-Cerun Kehidupan 4



Keempat

Selepas puas pujuk Hj Said, aku pun diberi bawa motor kapcai Honda dia yang nombor pendaftarannya AT6454. Oleh kerana motor tu dah uzur, nak naik bukit yang tinggi sikit pun dia tak larat. Satu hari tu motor tu meragam dan aku soronglah dari Asrama Delima ke kedai motor di Seksyen 2. Lalu je depan blok asrama siswi, terjeritlah Che Minah mana entah "Ooi Che Abang, motor tak de minyak ke?" Suaranya lantang tapi sayang wajahnya tak kelihatan. Aduh, berdesing telinga aku dibuatnya.


Kelima

Aku terpilih mengetuai pasukan olahraga kolej. Di kejohanan Olahraga Antara Universiti (waktu itu di Semester 4) yang berlangsung di Kompleks Sukan Kg Pandan, KL aku telah membuat kejutan apabila memenangi acara lompat kijang dengan mencatatkan jarak lompatan 13.94m yang juga rekod baru ITM. Aku menewaskan peserta UM yang pernah mewakili Malaysia di Kejohanan Antara Universiti ASEAN di Jakarta tahun sebelumnya.

Dengan kejayaan aku itu, aku telah terpilih untuk mewakili pasukan olahraga Universiti Malaysia ke kejohanan Antara Universiti ASEAN tahun 1984 di mana Malaysia telah menjadi tuan rumah. Dalam kejohanan itu, aku telah memenangi pingat perak dalam acara favourite ku, lompat kijang.


Keenam

Pada satu malam, aku dan room-mate Abd Rashid Wahab @ Acid telah pergi belajar di Menara (Multi Storey). Tersedar, dah larut lebih kurang pukul 11 malam. Menara dah hampir gelap. Sambil menunggu lif, Acid sudah bukak cerita pasal ada students yang dah jumpa macam-macam, lembagalah, orang takde kepalalah, itulah, inilah. Kami sudah kecut perut dan masing-masing diam. Lif pun tiba dan bila pintu lif terbuka, kami hampir-hampir menjerit (tetapi buat-buat selamba) sebab di dalamnya ada 2 orang siswi yang berjubah hitam nampak dua biji mata saja.

Kami tak jadi masuk lif dan turun dengan tangga saja hingga ke parking. "Itulah kau, lain kali cerita hantu lagi...." Acid seperti biasa, tersengeh saja.

Saturday, July 17, 2010

AKU BUDAK KAMPUS - Meniti Cerun-Cerun Kehidupan 3




Hari demi hari, waktu demi waktu aku lalui bersama-sama kawan sekursus maupun kawan-kawan senior dan junior dari kursus yang lain. Di kampus ITM Shah Alam, ribuan penuntut tak terbilang ramainya. Datangnya mereka dari segenap pelusuk tanahair, dari Padang Besar di Perlis hinggalah ke Sabah.

Dari semester satu, dua, tiga dan seterusnya hinggalah ke semester akhir. Pengalaman dalam dan di luar dewan kuliah semakin banyak ditimba. Suka duka, pahit manis, lucu, semuanya ada. Pucuk pangkal, jika ada kemahuan untuk mengejar cita-cita, pasti akan terjumpa jalannya. Mari aku senaraikan beberapa peristiwa yang masih tersimpan dalam diari kehidupan kampus, tanpa mengikut susunan semester, lebih 25 tahun dulu.


Pertama

Part 1 - Bersama-sama Baidilleh ke rumah abang ku di Taman Goodwood Klang nak mintak ongkos sikit. Baliknya, tayar motor Baidilleh bocor dicucuk paku lalu menolaklah kami motor dari Klang hinggalah ke rumah/asrama kami di Jalan Teratai, Shah Alam. Dahlah malam gelap gelita, kedai repair motor semua dah tutup.

Kedua

Part 3 - Aku dan beberapa lagi kawan-kawan terlewat untuk pergi mendaftar subjek foreign language. Memang dah rancang ramai-ramai nak belajar bahasa Mandarin tetapi kerana telah penuh, kami terpaksa masuk kelas bahasa Peranchis di mana pensyarah-pensyarahnya menanti dengan tangan terbuka (pasal tak ramai nak belajar). Nama pensyarah kami, Monsieur Pascal Burret (sebutannya biurey) yang mulutnya begitu lancang. Awas jangan salah sebut namanya tu. Walaubagaimanapun, ternyata mempelajari bahasa Peranchis memang happening dan melucukan. Ramai kawan-kawan yang mendapat nama samaran contohnya Mahyaddin mendapat nama Petit, yang bermaksud kecil dan Amiruddin dengan nama gelaran Ledoux kerana tersilap baca.

Ketiga

Di kejohanan olahraga ITM yang di adakan sewaktu Part 3, aku berjaya memenangi 2 pingat emas masing-masing dalam acara lompat kijang dan lompat jauh dan satu pingat gangsa dalam acara 100m pecut. Dengan mengumpul 19 mata, aku berjaya menjadi Atlit Terbaik kejohanan menewaskan beberapa orang senior. Salah satu dari pingat emas itu telah aku hadiahkan kepada seorang kawan istimewa yang telah meluangkan masa melihat aku beraksi.

Sunday, July 4, 2010

AKU BUDAK KAMPUS - Meniti Cerun-Cerun Kehidupan 2


Hari hari pertama aku mengenali kehidupan kampus boleh dikatakan interesting juga. Saban hari tengok papan kenyataan. Di Kajian, di Pusat Pelajar, di dewan-dewan kuliah di mana saja, papan-papan kenyataan jadi tumpuan. Kalau terlepas, that's it, selamat.

Banyak perkara baru aku temui dan belajar. Rupa-rupanya setelah tamat sekolah, masih banyak perkara yang kita masih belum tahu. Cafeteria, Mamakteria, ikan jaket, kad matrik/kad pelajar dan macam-macam lagi. Rumah yang aku duduki di Jalan Teratai 2/84 menempatkan 4 orang pelajar Business dan 4 orang pelajar Engine. Baki lagi 4 orang aku tak berapa ingat kursus apa. Maka, bertambah cepatlah berkembangnya vocabulary aku. Kehidupan kampus juga mengajar aku erti dan cara aku menggunakan kebebasan. Kebebasan menggunakan masa yang terluang maupun masa belajar dan kebebasan pergaulan sesama pelajar, samada yang muhrim ataupun yang bukan. Satu perkara yang sangat penting yang telah aku pelajari di hari-hari awal aku di ITM ialah samada aku mahu menjadi aku. Apakah aku mahu terus meningkatkan prestasi pendidikan ku yang pernah tercalar atau mahu hanyut dengan arus kelekaan yang terhidang di depan mata.

Sebagai seorang yang aktif dalam sukan, aku memilih olahraga sebagai cabang kokurrikulum. ROTU tak mungkin, Kebudayaan....tak ada bakat. Keusahawanan, alamak tak minat berniaga. Akhir sekali, Kesatria @ Katak Hijau, I say man, terima kasih ajelah. Actually, kalau masuk Kesatria pun bagus jugak. Ada uniform, dan kena pulak ada pangkat, pegang tongkat, pasti ramai yang terpikat.


Saturday, July 3, 2010

AKU BUDAK KAMPUS - Meniti Cerun-Cerun Kehidupan 1



Aku berlari-lari anak ke pejabat sekolah (VI) bila diberitahu ada panggilan talipun untukku.

"Bad, itu hari kau ada apply ITM ke?" tanya abah
"Ya abah, kenapa?" tanyaku menantikan jawapan penuh debaran.
"Ha, tu ada surat tawarannya dah sampai kat rumah" kata abah.

Panggilan talipun abah itu telah mengubah seluruh perasaan dan mindaku. Aku sangat bersyukur kerana berkat usaha gigihku menebus kesilapan lalu, bersama doa-doaku, aku telah mengubat luka dihatiku. Mengubat luka di hati emak dan abah.

Pada hari yang ditetapkan, aku menjejakkan kakiku di kampus ITM Shah Alam. Dengan serta merta aku menjadi kerdil di tengah-tengah lautan manusia, di kehijauan kampus yang luas terbentang. Di luar kawasan kampus, ladang kelapa sawit luas, saujana mata memandang.

"Oohhh, tadi engkorang pandang kitorang sedikit pun tak hormat aah! Bagi salam pun tak. Mentang-mentang ada mak bapak korang, kau buat kami ni macam kuli je hah!" bebel OC Sidek.
Biasalah, senior. Kalau tak tunjuk lagak sekarang, bila lagi ye tak?

Aku, Zulkifli Salleh, Husni, Baidilleh sama bilik di asrama Seroja sewaktu minggu orientasi. Zul dari Tangkak, Husni dari Muar manakala Baidi budak Kota Baru. Kami berempat berkongsi bersama 4 lagi siswa kursus yang lain. Aduuii, minggu Orientasi sangat memenatkan, mengantuk kerana tak cukup tidur. Dalam surau selepas sembahyang subuh ada kuliah subuh. Yang tertidur lebih ramai dari yang terjaga. Malamnya, kami dipaksa panjat bukit yang menuju ke Dewan Sri Budiman.

Setelah seminggu menjalani orientasi, kami ditempatkan di rumah teres empat bilik di Seksyen 2 yang berdekatan kampus, di Jalan Teratai 2/84 jika tak silap aku. Nombor rumah, aku dah tak ingat.

Dan bermulalah kehidupan kampus ku.


AKU BUDAK KAMPUS

Mukaddimah

Sebagai seorang yang telah gagal SPM dalam tahun 1980, kemudian mengulang di tahun 1981, saya langsung tidak mengharap untuk terus sambung belajar di mana-mana pusat pengajian tinggi. Walaupun pintu hati hampir tertutup untuk belajar, saya masih menyimpan sekelumit azam untuk memperbaiki status pendidikan diri. Dan setelah belajar bersungguh-sungguh, akhirnya saya berjaya juga lulus SPM dalam tahun 1982. Semangat saya kembali membara.

Takdir menentukan saya berjaya melangkah kaki ke ITM mengikuti kursus diploma pengajian bank. Ya, saya berjaya juga ke kampus. Aku budak kampus.

Kini, setelah 25 tahun meninggalkan kampus ITM Shah Alam, anak saya pula melangkahkan kakinya ke kampus yang pernah mencatatkan seribu satu pengalaman bapanya. Dia ditawarkan mengikuti 'fast-track' kursus ijazah sarjana muda pentadbiran sukan (setelah habiskan 3 semester di kampus Arau) .

Nampaknya ikatan saya dengan ITM (kini UiTM) kampus Shah Alam akan berterusan untuk beberapa tahun lagi. Dan sempena pertemuan semula (reunion) 25 tahun DIB ITM Shah Alam pada 31 Julai nanti, saya nukilkan di blog ini, rentetan pengalaman sejauh mana yang masih dapat diingat, buat bacaan sesiapa yang mahu membacanya.