Wednesday, July 10, 2013

Ahlan Wasahlan Ya Ramadan

Hari ni, Rabu 10 Julai 2013 bersamaan 1 Ramadhan 1434 di Malaysia.  Syukur kepada Allah Subha Nahu Wata'ala kerana dengan izinNya, dapat sekali lagi kita bertemu dengan bulan mulia ini, bulan penuh rahmat.

Ramadhan tahun ini merupakan yang pertama pasca bekerja makan gaji di Public Bank dan pastinya keadaan sudah jauh berbeza.  Jadual kehidupan seharian tidak lagi seperti sebelumnya.  Kalau sebelum ini setiap pagi, selepas sahur dan solat subuh harus berkejar ke pejabat, sekarang tidak lagi.  Kalau sebelum ini, berbuka puasa di pejabat dan seterusnya balik ke rumah malam, sekarang tidak lagi.  Dan jika sebelum ini, banyak menerima panggilan-panggilan telefon ucapan dari rakan dan taulan serta 'business associates' yang mempelawa ke majlis-majlis iftar, sekarang tidaklah lagi.  Walau apapun perubahan yang saya lalui, pastinya 'hijrah' ini memiliki suatu hikmah.   Hikmah yang saya sendiri tahu akan kehadirannya.




Berbuka puasa bersama-sama kakitangan di pejabat pada Ramadhan yang lepas.


Pernah sesekali terkenang dan merindui pengalaman sewaktu bekerja.  Ternyata bukan semua pengalaman di bulan Ramadhan sewaktu bekerja dulu, pahit dan menyakitkan.  Namun, saya tak mahu mendidik diri untuk terus dibuai kenangan lalu dan lekas-lekas saya kembali ke alam realiti.  Ialah, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula kawan bermain.  Semalam adalah sejarah, hari ini perjuangan dan esok adalah harapan.

Kekuatan dan azam harus saya kumpulkan untuk menghadapi hari-hari mendatang demi anak-anak dan isteri tersayang.  Doa bersama-sama dengan usaha harus saya gemblengkan untuk mencapai cita-cita yang telah di cipta.

Selamat menjalani ibadah puasa, wasallam.

Tuesday, May 28, 2013

Negeri Di Bawah Bayu







Menghadiri Istiadat Konvokesyen UiTM



Pada tanggal 19 Mei 2013, saya dan isteri telah menghadiri majlis Istiadat Konvokesyen UiTM yang berlangsung di Dewan Agung UiTM di kampus induk Shah Alam di mana anak sulong saya Muhammad Zainul Arif telah menerima ijazah sarjana mudanya pada sessi pagi atau sidang ke-13.

Maka teringat kembali sewaktu saya sendiri menerima diploma saya pada bulan Oktober tahun 1985 di majlis konvokesyen waktu itu berlangsung di Dewan Sri Budiman juga di kampus induk Shah Alam.  Kedua arwah abah dan emak menyaksikan peristiwa bersejarah itu.

Perasaan saya bercampur antara bangga, suka dan sedih.  Kini setelah mengalami sendiri, sebagai bapa, kita sangat berbangga di atas kejayaan anak-anak kita.  Saya juga suka kerana kejayaan anak-anak adalah hasil titik peluh dan didikan kita juga.  Dan, sedih kerana saya tahulah sudah betapa arwah abah dan emak dulu bersusah payah membesarkan kita.

Semuga anak-anak yang lain, Muaz, Izzat, Faseha, Fathiah, Faiz dan Iman dapat menjejaki langkah-langkah kejayaan kekanda Zainul.  Kepada Zainul, abah dan emak ucapkan tahniah dan selamat berjaya dalam hidup di dunia dan di akhirat nanti, insha Allah.

Wednesday, May 1, 2013

50 tahun

Menurut kata seorang sahabat lama, mencapai usia 50 tahun merupakan satu keistimewaan, di zaman ini.   Saya sendiri kurang pasti, apa sebenarnya yang sahabat saya itu maksudkan.  Adakah kerana sekarang ramai rakyat Malaysia yang 'pergi' sebelum mencapai usia emas itu?

Walau apapun, 29hb April 2013 telah datang dan pergi.  Syukur kepada Allah SWT kerana dgn izinNya, saya masih sehat walafiat dalam mencecah usia 50 tahun.  Saya ingatkan kepada diri sendiri agar jangan lalai dan leka lagi dengan kehidupan dunia sebaliknya tambahkan lagi amal ibadat sebagai bekalan bila dipanggil nanti.

Doa dan harapan kawan-kawan amat saya hargai dan doa saya agar Allah SWT menjemput saya sebagai tetamuNya ke Tanah Suci Mekah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah, insha Allah.

Wednesday, April 17, 2013

Taiping

Pada 6 hb April 2013, aku telah sampai juga ke bandar Taiping.  Pada kebiasaannya, dalam perjalanan ke utara semenanjung melalui lebuhraya Utara-Selatan, aku sekadar melewati dan melihat papantanda Taiping.

Semakin hampir, hatiku sangat tidak sabar untuk sampai.  Kenapa, aku sendiri kurang pasti.  Dan setibanya aku di bandar Taiping, aku saksikan Taiping seperti bandar-bandar lain di Malaysia, tiada banyak bezanya.  Cuma apabila setelah berada sedikit lama barulah aku dapat saksikan kesan peninggalan sejarah dan keindahan panorama bandar Taiping.





From Taiping With Love, teringat kisah kartun dlm majalah Gila-Gila.  Kini Taman Tasik Taiping di hadapan mata.  Memang cantik, memang menawan.
Bukit Larut (Maxwell Hill) yang menghijau



Aku dan isteri Dalilah serta tiga dari tujuh anak kami tinggal di sebuah 'homestay' rumah teres satu tingkat di Taman Desa Jana.  Walaupun kami telah merancang untuk berada di Taiping selama sehari semalam, rasanya tidak sempurna jika aku tidak membawa isteri dan Fathiah, Faiz dan Iman ke Kuala Sepetang, Zoo Taiping, Taman Tasik dan Kuala Gula.  Maka atas dasar itulah, maka sahabat (ex-staff PBB) aku, Asrol telah membawa kami ke tempat-tempat yang aku sebutkan itu.

Kuala Gula, lebih kurang 80km dari bandar Taiping

Menikmati sepinggan mee udang yang sinonim dengan Kuala Sepetang
 
Dalilah dan anak-anak di Zoo Taiping



Sesungguhnya, perjalanan ke Taiping satu pengalaman indah yang sukar dilupakan dan insha Allah, jika ada umur mahu lagi aku ke Taiping. 






Berakhir satu perjalanan, bermula satu pengembaraan

Suasana malam di kampung, begitu mendamaikan.  

Hari ini, Rabu 17 April 2013.  Hampir sebulan setengah yang lepas, atau lebih tepat lagi pada 6 Februari 2013, aku telah melangkah keluar dari pejabat di Public Bank cawangan Seksyen 14 Petaling Jaya buat selama-lamanya.  Aduh, memang susah, terlalu susah hendak dilupakan akan pengalaman pahit manis yang telah dikumpulkan selama hampir 27 tahun bekerja di sektor perbankan.

Demi untuk tatapan dan bacaan anak-anak dan insha Allah, generasi akan datang, maka aku nukilkan kisah pengalaman kepada satu perjalanan yang panjang bermula dari tarikh hari pertama aku melaporkan diri di Sim Lim Finance Berhad, cawangan Klang pada tanggal 26 Mac 1986.  Aku, pada usia hampir 23 tahun, masih mentah, masih hijau namun bertekad untuk membina satu kerjaya untuk diri sendiri dan sebagai memenuhi hasrat kedua ibubapa tercinta, allahyarham Haji Mohamed Said dan allahyarhamah Hajjah Jamaliah.

Pagi yang penuh bersejarah itu, hati gundah gulana maklum sajalah, hari pertama kerja.  Adakah nanti aku dapat melaksanakan tugas yang diberikan, bentuk apakah kerjanya, bagaimana layanan yang bakal aku terima dari pengurus dan kakitangan-kakitangan yang akan menjadi rakan sekerja dan macam-macam lagi.

Sesampai sahaja di pejabat, di Jalan Dato Hamzah, Klang, aku merasa sedikit hairan.  Syarikat kewangan ke atau kedai pajak gadai ni?





Tuesday, February 19, 2013

Doa buat Abah

Semalam, saya mendapat berita tentang kepulangan kerahmatullah ayah seorang sahabat lama.  Selepas seketika, fikiran saya teringat kembali akan abah yang telah terlebih dulu menyahut panggilan Illahi lebih kurang 16 bulan yang lalu atau lebih tepat iaitu pada tanggal 25 haribulan October, 2011.





Abah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pakar Damansara pada lebih kurang pukul 10 pagi pada usianya 83 tahun.  Mengenang kembali pengalaman hidup bersama abah sejak saya di zaman kanak-kanak sehingga dewasa, terlalu banyak pengalaman, kenangan dan peristiwa yang tak mungkin hilang dari ingatan.  Kata-kata, tunjuk ajar dan nasihatnya sangat sukar difahami sehingga saya sendiri menjadi seorang ayah.  Abah seorang bekas guru yang memiliki sifat jujur, tegas, bengis, berdisiplin tinggi dan yang paling utama, sifat taat, hormat dan patuh kepada kedua ibubapanya dan orang-orang yang lebih tua terutama saudara maranya.   

"Kita ada Allah satu, mak bapak satu, kata mesti satu!" itulah antara beberapa nasihat abah yang selalu diulang-ulang dalam menegaskan bahawa janganlah sekali-kali kita berbohong.

Kini, apa yang dapat saya sumbangkan demi membalas jasa allahyarham abah ialah setiapkali selepas solat, mendoakan dan menghadiahkan nya Al-Fatihah.

Semuga Allah SWT jua yang memelihara dan mencucuri rahmat kepada roh allahyarham abah, amiinn.