Wednesday, April 17, 2013

Taiping

Pada 6 hb April 2013, aku telah sampai juga ke bandar Taiping.  Pada kebiasaannya, dalam perjalanan ke utara semenanjung melalui lebuhraya Utara-Selatan, aku sekadar melewati dan melihat papantanda Taiping.

Semakin hampir, hatiku sangat tidak sabar untuk sampai.  Kenapa, aku sendiri kurang pasti.  Dan setibanya aku di bandar Taiping, aku saksikan Taiping seperti bandar-bandar lain di Malaysia, tiada banyak bezanya.  Cuma apabila setelah berada sedikit lama barulah aku dapat saksikan kesan peninggalan sejarah dan keindahan panorama bandar Taiping.





From Taiping With Love, teringat kisah kartun dlm majalah Gila-Gila.  Kini Taman Tasik Taiping di hadapan mata.  Memang cantik, memang menawan.
Bukit Larut (Maxwell Hill) yang menghijau



Aku dan isteri Dalilah serta tiga dari tujuh anak kami tinggal di sebuah 'homestay' rumah teres satu tingkat di Taman Desa Jana.  Walaupun kami telah merancang untuk berada di Taiping selama sehari semalam, rasanya tidak sempurna jika aku tidak membawa isteri dan Fathiah, Faiz dan Iman ke Kuala Sepetang, Zoo Taiping, Taman Tasik dan Kuala Gula.  Maka atas dasar itulah, maka sahabat (ex-staff PBB) aku, Asrol telah membawa kami ke tempat-tempat yang aku sebutkan itu.

Kuala Gula, lebih kurang 80km dari bandar Taiping

Menikmati sepinggan mee udang yang sinonim dengan Kuala Sepetang
 
Dalilah dan anak-anak di Zoo Taiping



Sesungguhnya, perjalanan ke Taiping satu pengalaman indah yang sukar dilupakan dan insha Allah, jika ada umur mahu lagi aku ke Taiping. 






Berakhir satu perjalanan, bermula satu pengembaraan

Suasana malam di kampung, begitu mendamaikan.  

Hari ini, Rabu 17 April 2013.  Hampir sebulan setengah yang lepas, atau lebih tepat lagi pada 6 Februari 2013, aku telah melangkah keluar dari pejabat di Public Bank cawangan Seksyen 14 Petaling Jaya buat selama-lamanya.  Aduh, memang susah, terlalu susah hendak dilupakan akan pengalaman pahit manis yang telah dikumpulkan selama hampir 27 tahun bekerja di sektor perbankan.

Demi untuk tatapan dan bacaan anak-anak dan insha Allah, generasi akan datang, maka aku nukilkan kisah pengalaman kepada satu perjalanan yang panjang bermula dari tarikh hari pertama aku melaporkan diri di Sim Lim Finance Berhad, cawangan Klang pada tanggal 26 Mac 1986.  Aku, pada usia hampir 23 tahun, masih mentah, masih hijau namun bertekad untuk membina satu kerjaya untuk diri sendiri dan sebagai memenuhi hasrat kedua ibubapa tercinta, allahyarham Haji Mohamed Said dan allahyarhamah Hajjah Jamaliah.

Pagi yang penuh bersejarah itu, hati gundah gulana maklum sajalah, hari pertama kerja.  Adakah nanti aku dapat melaksanakan tugas yang diberikan, bentuk apakah kerjanya, bagaimana layanan yang bakal aku terima dari pengurus dan kakitangan-kakitangan yang akan menjadi rakan sekerja dan macam-macam lagi.

Sesampai sahaja di pejabat, di Jalan Dato Hamzah, Klang, aku merasa sedikit hairan.  Syarikat kewangan ke atau kedai pajak gadai ni?