Wednesday, July 10, 2013

Ahlan Wasahlan Ya Ramadan

Hari ni, Rabu 10 Julai 2013 bersamaan 1 Ramadhan 1434 di Malaysia.  Syukur kepada Allah Subha Nahu Wata'ala kerana dengan izinNya, dapat sekali lagi kita bertemu dengan bulan mulia ini, bulan penuh rahmat.

Ramadhan tahun ini merupakan yang pertama pasca bekerja makan gaji di Public Bank dan pastinya keadaan sudah jauh berbeza.  Jadual kehidupan seharian tidak lagi seperti sebelumnya.  Kalau sebelum ini setiap pagi, selepas sahur dan solat subuh harus berkejar ke pejabat, sekarang tidak lagi.  Kalau sebelum ini, berbuka puasa di pejabat dan seterusnya balik ke rumah malam, sekarang tidak lagi.  Dan jika sebelum ini, banyak menerima panggilan-panggilan telefon ucapan dari rakan dan taulan serta 'business associates' yang mempelawa ke majlis-majlis iftar, sekarang tidaklah lagi.  Walau apapun perubahan yang saya lalui, pastinya 'hijrah' ini memiliki suatu hikmah.   Hikmah yang saya sendiri tahu akan kehadirannya.




Berbuka puasa bersama-sama kakitangan di pejabat pada Ramadhan yang lepas.


Pernah sesekali terkenang dan merindui pengalaman sewaktu bekerja.  Ternyata bukan semua pengalaman di bulan Ramadhan sewaktu bekerja dulu, pahit dan menyakitkan.  Namun, saya tak mahu mendidik diri untuk terus dibuai kenangan lalu dan lekas-lekas saya kembali ke alam realiti.  Ialah, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula kawan bermain.  Semalam adalah sejarah, hari ini perjuangan dan esok adalah harapan.

Kekuatan dan azam harus saya kumpulkan untuk menghadapi hari-hari mendatang demi anak-anak dan isteri tersayang.  Doa bersama-sama dengan usaha harus saya gemblengkan untuk mencapai cita-cita yang telah di cipta.

Selamat menjalani ibadah puasa, wasallam.