Saturday, May 29, 2010

Mencipta Juara


Tinggal beberapa hari sahaja lagi, Piala Dunia FIFA edisi ke 19 akan sepak mula.

Saya masih ingat lagi kisah apa yang berlaku di Piala Dunia sebelum ini, 4 tahun yang lalu.

Semasa kejohanan Piala Dunia yang berlangsung di Jerman itu memasuki peringkat kalah mati, tidak ramai peminat bolasepak seluruh dunia memilih Italy untuk menjuarai kejohanan berprestij itu. Selain tuan rumah Jerman, penyandang juara Brazil, Argentina, England dan Portugal menjadi pilihan.

Kita semua menyaksikan betapa bernasib baiknya Italy menewaskan Australia bilamana mereka diberikan sepakan penalti di saat-saat akhir permainan lantas menghancurkan hati peminat-peminat Socceroos. Ramai yang berpendapat bahawa pengadil telah melakukan kesilapan besar.

Bagaimanapun, pasukan Italy yang lebih dikenali dengan nama Azzuri akhirnya mempamirkan warna sebenar mereka dan membuktikan sekali lagi bahawa masalah dalaman dan perbalahan sesama sendiri tidak ada kaitan langsung dengan cita cita mereka untuk mencapai kejayaan.

Setelah mereka berjaya menewaskan tuan rumah Jerman di peringkat separuh akhir, the Azzuri muncul sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Dunia untuk kali keempat dan menjadi negara bolasepak kedua terbaik di belakang Brazil. Pasukan bintang The Samba Boys itu, sebaliknya adalah pasukan yang gagal. Sungguhpun mereka memenangi kesemua perlawanan peringkat kumpulan dan perlawanan 16 pasukan, namun prestasi mereka begitu mengecewakan jutaan peminatnya di seluruh dunia, termasuk saya sendiri.

Di perlawanan suku akhir menentang Peranchis, kelemahan mereka telah dihukum oleh anak-anak didik Raymond Domenech sekaligus menyerlahkan satu fakta yang sangat jelas iaitu pemian-pemain bertaraf bintang tidak menjaminkan kejayaan.

Semuanya kini sudah menjadi sejarah, The Azzuri telah dinobatkan sebagai Campeon del Mundial untuk edisi ke 18 kejohanan bolasepak Piala Dunia FIFA tahun 2006 bila mereka menewaskan Peranchis di perlawanan akhir.

Maka mahukah kita bertanya diri kita sendiri, apakah yang mencipta juara? Apakah nilai-nilai baik yang dimiliki The Azzuri yang dapat kita contohi?

Piala Dunia datang lagi dan 'let the games begin'.

Sunday, March 21, 2010

KALAU DAH JODOH

Di satu pagi yang macam biasa (maknanya sibuk lah) di pejabat saya.

"En Bad, saya nak apply cuti" kata Nadia
"Cuti? Bila? Mana borangnya?" saya tanya.
"Ini ha..."
"Eh, ni cuti kahwin! Awak dah nak kahwin Nadia?"
"Iyelah En Bad"
"Laa, jadi ituhari yang saya dengar awak heboh2 dgn staff lain tu, betul-betul lah ye?"
"Betullah, En Bad tak percaya ke?"
"Macamana nak percaya, awak semua kan kaki kelentong, buat lawak je"

"Bulan April 2010, amboi lamanya cuti. Sambung dengan Annual Leave 4 hari pulak tu..."
Nadia diam je sambil tersenyum malu.
"Awak dapat orang jauh ke? Lama cuti ni? Kelantan, Perlis, Sabah??"
"Orang dekat je En Bad, Klang"
"Apa? Klang? Klang kat mana?"
"Kg Jawa..." jawab Nadia
"Eh! Awak......(saya kehairanan dan tak percaya) dengan Mustakim ke???"
"Iye En Bad"
"Ta...pi....dia kan Ja....(wa), salesman...."

"Betul En Bad. Saya memang tak suka salesman, dah lah tu (orangnya) pendek pulak tu"
"Habis tu?" saya masih tak percaya.
"Dah jodoh saya En Bad. 6 bulan kami kawan, lepas tu dia masuk meminang. Bapak saya terus terima.
Cinta dengan orang lain, nak kahwin dengan orang lain. Yang paling saya tak suka, salesman dan lelaki rendah, tetapi, itulah yang saya dapat...."

"Habis tu, awak suka tak dengan dia?"

"Apalah En Bad ni, sukalah!" jawab Nadia ringkas sambil tunduk malu.


Nadia ialah salah seorang staff pengkeranian di pejabat saya. Orangnya manis, kulitnya cerah kuning langsat.
Frame body besar tinggi, adalah 5'5" agaknya. Kalau main rugby memang padan.
Mustakim pula seorang jurujual kereta Perodua yang selalu datang ke pejabat kami untuk membawa permohonan pinjaman kereta oleh pembeli2 kereta dengannya. Ialah siapa sangka, jodoh pertemuan di tangan Allah SWT. Dalam pada dia berurusan hal2 biznes, tersangkut pulak hatinya kepada Nadia.

Manusia merancang, Allah yang menentukan. Dialah perancang yang Maha Kuasa.

Setelah meluluskan permohonan cuti perkahwinan Nadia, saya hulurkan salam seraya berkata,

"Nadia, biarlah saya jadi orang pertama ucapkan awak selamat pengantin baru, selamat mendirikan rumahtangga bahagia semuga kekal hingga ke akhir hayat. Ingat tu, Allah dah bagi reminder, jangan sesekali membenci seseorang tanpa sebab. Anyway, tahniah."

"Thank you En Bad"

Friday, February 26, 2010

Menoleh Kebelakang Mengimbau Kenangan Silam - Episod Akhir



Begitulah serba ringkas kisah kehidupan lampau, pengalaman hidup saya yang dapat saya dokumentasikan buat bacaan sahabat-sahabat semua. Saya ucapkan terima kasih kepada anda yang sudi meluangkan sedikit masa membacanya yang saya pasti, tidaklah sehebat manapun berbanding dari kisah dan pengalaman hidup anda semua. Masing-masing punya keistimewaan yang tersendiri. Apa yang penting ialah sejauh mana kita dapat pelajari dan mengambil iktibar dari setiap apa yang kita lalui. Yang baik jadikan teladan dan yang tidak, kita jadikan sempadan. Banyak lagi kisah-kisah yang mungkin dapat saya ringkaskan dalam format nombor seperti berikut :-

1. Yang Jahil

Tahun 1987, ambil ujian memandu kereta 2 kali baru lulus. Yang pertama tak lulus sebab saya cuma berselipar Jepun ketika mengambil ujian jalanraya.

2. Yang Menguji Tahap Kesombongan Diri

Tahun 1987 juga, saya mewakili Visia Finance (nama baru Sim Lim Finance) dalam kejohanan olahraga Antara Syarikat Kewangan Malaysia yg pertama di Kompleks Sukan Kg Pandan. Menang pingat emas dalam acara-acara favourite saya lompat jauh dan lompat kijang. Peserta-peserta lain dari Mayban Finance, Arab M'sian, Public Finance, MBf dan beberapa lagi yang established duduk berkumpul sesama mereka, tak campur dengan peserta-peserta dari finance companies yang nyamuk macam kami ni, sambil memperagakan pakaian sukan mereka yang canggih manggih. Namun, bila acara bermula, saya kasihan melihat mereka berhempas pulas cuba menyaingi jarak lompatan saya kerana apa yang mereka tak tahu ialah saya adalah pelompat kijang yang kelapan terbaik di Malaysia pada waktu itu.

3. Yang Merobek Perasaan

Tanggal 30 April 1993 setelah mendapat panggilan kecemasan, saya kembali dari Tampin untuk berada di sisi emak menemaninya yang semakin tenat di Wad Padeatrik, HKL. Tiba detik jam 12.30 pagi 1 Mei 1993, selepas 30 tahun berjuang melawan penyakit diabetik, emak kembali kerahmahtullah menyahut panggilan Illahi. Abah biarkan sahaja saya menangis, mengalirkan airmata hingga jenazah emak selesai di semadikan. Abah kata, allahyarhamah emak memang 'menunggu kepulangan' saya di sisinya. Kerana kemahuan emaklah saya memilih kursus DIB dan kerana mengambil kursus DIB lah saya telah ditemukan dengan insan-insan hebat, anda semua.

4. Yang Mencapai Cita-Cita

Tahun 1998, memiliki sebuah kereta baru Ford Laser yang saya idamkan sejak dari zaman belajar di ITM lagi.

5. Yang Melebihi Jangkaan

6/1/2006, anak ke-7, Siti Raudhatul Iman lahir ke dunia. CEO Public Bank suruh achieve target business, yang dia tak suruh over achieve target jumlah anak!

6. Yang Berserah Diri Kepada Allah

Bersama keluarga pada waktu malam pulang dari rumah Azhar @ Pinky di Kulim hendak balik kerumah adik ipar di Kuala Ketil. Saya tersilap ambil jalan lalu tersesat dalam kegelapan malam di tengah-tengah estet besar. Jam sudah pukul 11 malam, hujan renyai dan jarum meter minyak sudah hampir E.

7. Yang Selalu Saya Nasihatkan Kepada Anak-Anak

Jangan ulangi kesilapan dan kesalahan yang telah Abah lakukan dahulu. Kejayaan abah yang tidak seberapa ini kalian contohilah dan perbaiki prestasinya. Suatu waktu dulu Abah pun pernah jadi anak macam kalian dan suatu hari nanti kalian pula akan jadi dewasa macam Abah, maka janganlah kalian sangsi akan apa yang abah dan mama nasihati, arahkan atau perintahkan. Selalu imbangi apa sahaja yang kalian buat dalam kehidupan dan percayalah akan setiap apa yang terjadi kepada kita tidak akan ia terjadi melainkan dengan sebab, hanya untuk kalian menyedari dan menginsafinya.

Menoleh Kebelakang Mengimbau Kenangan Silam 6



Hidup Berkerjaya Hidup Berkeluarga

"Amir! Eh apa kau buat sini? Macamana kau boleh tersesat kat sini?" Bermacam-macam soalan yang saya lontarkan kepadanya. MasyaAllah, Amiruddin @ Ledoux datang dari Pulau Pinang ke Tanjung Sepat. Rupa-rupanya Amirudin datang ke Sepang menemani isterinya kerana urusan kerja. Tanjung Sepat tidaklah dekat sangat dari Sepang, namun Amirudin datang juga menjenguk saya. Jarak dan waktu bukan soalnya, saya fikir, dia datang kerana dia tahu seorang sahabat lamanya sangat dahagakan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara mereka.

Amiruddin, kebetulan pada pandangan saya, merupakan seorang yang pelik. Kami sama-sama di Class A. Orangnya mudah (simple), tak banyak karenah dan suka bersendirian. Amir yang pertama sekali mendirikan rumahtangga. Pelik bin Ajaib sebab dia tak pernah sekalipun kelihatan di khalayak ramai berjalan berdua-duaan dengan girlfriendnya itu sewaktu di kampus.

Hujung tahun 1996, saya mengambil keputusan untuk membawa keluarga berpindah ke Banting kerana tak sanggup lagi jadi weekend husband and father. Penat memandu tak terkata, pernah sekali dalam perjalanan ke pejabat, di jalan Morib saya terlelap lebih kurang 3 saat bila tersedar saya telah berada di lorong sebelah dan lori pasir depan mata. Cuma barangkali Allah mahu saya melihat anak-anak membesar itulah saya sempat 'selamatkan' keadaan. Satu hari, saya bertemu pula dengan Zulkifli Salleh (Zul Slow) yang bekerja di Bank Pertanian cawangan Banting. Zul adalah di antara kawan pertama saya di ITM (satu bilik di minggu orientasi Part 1).

Pada Ogos 1997, saya ditukarkan pula (promotion grade) ke cawangan baru di SS2, Petaling Jaya. Pindah lagi!!! Namun kali ini saya dapat jangkakan bahawa saya tak akan ditukarkan lagi keluar dari Lembah Klang dan atas dasar itu, saya pun membeli sebuah rumah teres 2 tingkat yang telah berusia 10 tahun di Kg Bukit Kapar yang sederhana keluasan dan harganya kerana nak beli yang baru dan mahal pada waktu itu adalah di luar kemampuan saya.
Petaling Jaya - bandar satelite Kuala Lumpur. Jam sana, jam sini, please la. Setelah lebih 7 tahun saya tinggal jauh dari kebisingan kota, akhirnya saya tempuhi semula itu semua. Cawangan baru, staff baru, semua nak kena ajar. Sehari suntuk buat bank recon pun tak boleh balance. Lima hingga enam bulan pertama saya balik pukul 10 malam ke atas saja. Namun, seperkara yang baik kembali ke Lembah Klang ialah saya telah dipertemukan semula dengan beberapa ex DIB coursemates seperti Shamsul Bahri (Mohaiyani Securities), Jaffry Azman (NSTP/TV3), Sabri (Ford), Mahyaddin @ Petit (Bank Utama), Dimas (Harian Metro) dan Faizah. Namun, terdetik juga di hati kalau dapat ingin bertemu ramai lagi. Kalau tak bertemu sekalipun, tahu di mana pun jadilah.

Dalam kesibukan di pejabat, pada Ogos 1998, saya dikurniakan anak yang ke lima (satu lagi achievelah target). Kata orang rezeki anak memang ada, disertakan sekali dengan cita-cita untuk membuktikan diri sebagai Melayu yang boleh berjaya di arena yang dikuasai kaum China, dan tentulah dengan izin Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, setelah disenarai pendek, pada Ogos tahun 2000 saya dinaikkan pangkat ke pengurus di cawangan Seksyen 14, PJ. Saya yang pada satu ketika dulu di Bentung disamakan taraf dengan seorang hamba yang hina telah akhirnya berjaya buktikan kepada diri saya sendiri bahawa selagi saya berpegang teguh kepada qada' dan qadar dan selagi saya percaya segala apa yang saya lalui merupakan ujian Allah s w t semata-mata, maka dengan izinNya jugalah dia limpahi saya dan keluarga saya dengan rezeki yang memadai.

Dan semenjak tanggal 10 Ogos 2000, saya tidak menoleh kebelakang lagi. Pada tahun 2001, saya telah mencukupkan kuota ataupun mencapai sasaran bila anak yang ke-6 dilahirkan. Pada tahun 2003, PFB cawangan Seksyen 14 PJ memenangi 3 hadiah utama peringkat nasional di Seminar Pengurusan PBB iaitu

1. Highest Profit Per Staff
2. Highest Increase in HP Business Per Staff
3. Highest Islamic Banking Business Per Staff

dan cawangan saya juga telah dipilih antara 6 cawangan pertama yang disatukan (merger/rational) dengan cawangan PBB.


Bersambung...

Sunday, February 21, 2010

Menoleh Kebelakang Mengimbau Kenangan Silam 5



Hidup Berkerjaya Hidup Berkeluarga

August 1995 - Tanjung Sepat, sebuah pekan kecil terletak di pinggir pantai barat daya Selangor, 60 km dari bandar Klang. Dari Klang, kita pergi kearah Banting, Pantai Morib dan seterusnya melalui jalanraya pesisir pantai (seperti Kuantan ke Cherating) anda sampailah ke pekan 'cowboy' Tanjung Sepat. Kaum China merupakan majoriti 80%, Melayu 15% (polis dan penduduk kampung Tg Sepat Darat dan di taman perumahan berhampiran) dan selebihnya kaum-kaum lain. Aktiviti utama harian ialah perniagaan seperti peruncitan, pasar dan penyeludupan (aktif di waktu malam). Aktiviti pertanian utama ialah ternakan babi/khinzir dan kelapa sawit.

Setibanya kami dari Bentung, saya telah menyewa sebuah rumah di Kg Bukit Kapar untuk keluarga. Saya pula menyewa bilik di pekan Sg Pelik, Sepang. Untuk berulang harian pasti tak sanggup saya lakukan maka jadilah saya apa yang dipanggil "weekend husband, weekend father". Mencabar? Memang mencabar namun ada misi yang mahu saya laksanakan dan ada sesuatu yang mahu saya buktikan. Kalau hidup ini bak batu pengisar, saya akan buktikan bahawa saya adalah sejenis batu yang bakal bersinar apabila di kisar/gilap.

Pagi-pagi, gerai yang menjual daging babi di hadapan pejabat begitu laris jualannya. Petang hari pula, biasanya apabila dapat panggilan dari "ah long " kenalah kita tunggu "machai" mereka datang hantar duit hutang yang mereka pungut sepanjang hari. Janji sampai pukul 4 petang tetapi biasanya pukul 6 petang baru nampak batang hidung si-machai. Barulah kami boleh mengira tunai dan tutup vault. Bila tiba bulan Ramadan, saya bagai berada di negeri asing, bukan sahaja tak ada apa yang nak dimakan untuk berbuka puasa dan bersahur, malahan tak ada orang Melayu yang berniaga makanan di pekan Tanjung Sepat dan Sungai Pelik!

Haiiii, pelik, pelik.

Satu lagi yang pelik mengenai Tanjung Sepat ialah pekannya kerap sangat ketiadaan air. Namanya sahaja menggambarkan air. Tanjung seperti yang kita tahu, di kelilingi air, ikan sepat pun hidup dalam air. Tanjung Tokong, Tanjung Bunga, Tanjung Rhu, Tanjung Piai, semuanya di kelilingi air. Yang saya tahu tak ada kena mengena dengan air ialah Tanjung Rambutan. Khabarnya, keutamaan air paip disalurkan ke kawasan pembinaan di 'bandaraya untuk masa hadapan' Putrajaya, KLIA dan Litar F1.
Namun, semua kepelikan yang telah saya sebutkan tadi, tidak ada yang lebih pelik dari dua peristiwa yang akan saya sebut ini.

Pertama, ada seorang staff wanita berbangsa China pastinya, telah diam-diam jatuh hati kepada saya! Mula-mula memang lucu tetapi lama-lama yang saya sangka lucu menjadi kegerunan. Pernah dia ucapkan kepada saya bahawa sekiranya saya masih bujang, pasti dia akan meninggalkan ugama anutan nenek moyangnya dan men'dapat'kan saya. Keluarga, katanya bukan penghalang cita dan cintanya tetapi oleh kerana tidak mahu merosakkan rumahtangga saya, itulah yang menghalang.

"Ah Yong, Ah Yong...awak cintan sama gua apa bikin? Awak muda saya sudah 34 taun ooh, anak pun sudah ampat. Awak carilah Jacky Chan, Jet Li ka atau Andy Lau ka, awak punya bangsa sindiri la".

"En Subadri (nama saya dia tak pelat sebut), gua tak pernah jumpa lelaki tak kila China ka Melayu ka, baik macam encik. Sejak encik mali sini, gua sangat suka mali kelija pasai encik banyak ajar kami kelija. Encik banyak tahu kelija (experience), suka buat joke dan suka tolong staff. Encik tengok, kita punya business pun banyak, profit tinggi, semua olang China sini chiakap encik banyak bagus kelija. Lagipun aa, encik aa....." Ah sudah, merepek la amoi ni.

Beberapa bulan setelah saya ditukarkan ke cawangan lain, Ah Yong telah berhenti kerja di Public Finance dan membawa diri entah kemana, frust la tu....

Kedua, pada satu hari yang biasa lebihkurang pukul 3 petang, masuk ke pejabat seorang lelaki berbangsa Melayu, berkacamata bulat dan berambut lurus. Saya sangat kenal jejaka tu. Tetapi tak mungkin, apa dia buat sini, di hujung dunia ni?
MasyaAllah, dia datang dari jauh mencari saya? Sekian lama saya tak berjumpa dengan walau seorang bekas DIB coursemate (kecuali kakak ipar sayalah).


Bersambung....

Saturday, February 20, 2010

Menoleh Kebelakang Mengimbau Kenangan Silam 4


Hidup Berkerjaya Hidup Berkeluarga

July 1993 - Akhirnya, setelah mendapat dan menerima pakai pandangan beberapa orang rakan sekerja, saya pun membuat keputusan untuk menerima tawaran kenaikan pangkat sebagai penolong pengurus Public Finance cawangan Bentung, Pahang Darul Makmur.

Keputusan untuk berhijrah ke Bentung bukan mudah untuk saya buat. Ia adalah kerana bukan sahaja saya terpaksa berpindah rumah, Dalilah juga terpaksa berpindah kerja samada ke Bank Islam cawangan Temerloh ataupun Klang. Oleh sebab dia enggan berpisah dengan saya dan mahu menuruti kemana sahaja saya ditugaskan, maka dengan berat hati terpaksalah dia memohon berhenti kerja dari Bank Islam.

Masih teriang-iang lagi di telinga saya akan katanya, "Abang, apalah erti wang ringgit kalau saya dan anak-anak hidup berjauhan dengan abang. Tak apalah bang, kita hidup sederhana asal cukup makan pakai kita sekeluarga. Saya tak mahu emas berjela, cuma kasih sayang dan ingatan abang kepada saya."

Besar sungguh pengorbanan Dalilah. Maklum sajalah, walaupun gajinya sebagai kerani tak sebanyak mana, tetapi boleh dia membeli barang keperluannya sendiri dan boleh juga dia memberi sedikit wang gajinya kepada ibunya di kampung. Mengikuti saya bererti itu takkan berlaku lagi.

Negeri Pahang Aman Sentosa
Kaya Dengan Tumbuh Tumbuhan
Sayalah Datang Nak Buat Jasa
Mudah Mudahan Tuhan Makbulkan

Begitulah serangkap pantun dari lagu Joget Pahang nyanyian seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan itulah juga pengharapan saya sewaktu kaki melangkah ke bumi negeri pahlawan termasyhur, Mat Kilau. Masa berlalu semakin hari semakin kami sekeluarga dapat sesuaikan diri dengan keadaan dan masyarakat setempat.

Satu hari saya diajak oleh seorang kawan dari Maybank untuk menyertai pasukan bolasepak The Bankers. Sekali main sahaja, terus dipilih menjadi pemain regular malah menjadi bualan pula! Saya ambil kesempatan melihat bandar Kuala Lipis, Raub, Temerloh, Mentakab, Kuantan, Kuala Pahang dan pantai peranginan Cherating.

Rezeki pun bertambah apabila saya bertukar kereta Proton Wira dan dikurniakan anak yang keempat, seorang perempuan - akhirnya.

Saya sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Kalau sejahtera yang saya harapkan, malapetaka yang saya terima. Tanpa saya sangka, bekerja tekun, rajin dan menjalin hubungan kerja yang erat dengan kakitangan bawahan serta menjana lebih banyak keuntungan bagi pihak cawangan telah menimbulkan rasa iri di hati pengurus cawangan. Jangankan kata hendak menggugat kedudukannya, terniat pun tiada.

Yang saya mahukan ialah hidup aman bahagia bersama keluarga di perantauan dan berbakti kepada masyarakat. Perbelanjaan pelajaran saya sewaktu di ITM dulu telah dibiayai oleh rakyat Malaysia, maka adalah adil saya membalasnya dengan bekerja secara jujur dan ikhlas walau kemana saya dihantar (patriotik!!!). Sedihnya, pengurus saya bertindak semakin hari semakin kejam. Dia menggunakan segala kekuasaan yang ada padanya untuk melemahkan semangat saya dan meletakkan kedudukan saya di pejabat setara hamba yang hina. Pada wajahnya yang manis terselindung perasaan iri yang sangat jahat. Saban hari saya pulang dari kerja, selera makan hilang. Kerap saya menitiskan airmata tatkala melihat anak-anak yang masih belum kenal erti kehidupan tidur bersama-sama.

Yang selalu saya bertanya pada diri, "apakah aku gagal sebagai seoarang ayah yang seharusnya memberikan anak-anaknya kehidupan yang baik?" Kerana ingatkan anak-anak dan isteri yang turut sabar menghadapi ujian Allah, saya tidak melenting sedikit pun walau diasak dibuli dengan sebegitu dasyat.

Kepada Allah SWT saya panjatkan doa agar berikan saya kekuatan untuk menghadapi dugaanNya. Allah telah makbulkan doa saya untuk berjasa kepada rakyat Pahang dan Allah juga menaikkan taraf saya sebagai hamba yang sabar. Pada suatu hari yang berbahagia, saya menerima satu panggilan talipon dari Bahagian Sumber Manusia yang memberitahu saya akan ditukarkan ke satu cawangan yang sangat terpencil. Mereka bertanya adakah saya mahu menerimanya? Adakah saya mahu menerimanya?? Saya jawab, jangan kata ke Tanjung Sepat (yang terletak lebihkurang 60km di pesisiran pantai barat daya Selangor, negeri tanah tumpah darahku) ke pelusuk manapun di Semenanjung Malaysia hatta kehujung dunia sekalipun, saya akan pergi asalkan keluar dari Bentung.

Melangkah setapak kebelakang, kalau betul perkiraan kita, adalah lebih baik kerana kita mungkin boleh melangkah beberapa langkah kehadapan. Saya keluar dari masalah yang saya hadapi itu dengan menjadi seorang insan yang lebih baik, tabah dan lebih matang. Ternyata kemenangan moral berpihak kepada saya kerana, pengurus saya itu langsung tidak diberitahu dan permintaannya kepada ibu pejabat untuk menahan perpindahan saya tidak dilayan. Sebagai seorang kafir, dia tidak tahu bahawa dia cuma makhluk yang kecil dan lemah, ada Allah yang berkuasa akan segala-galanya.

Kalau Damak, Deli dan ibunya merajuk meninggalkan Mersing dan kembali ke Pahang, pada hari itu saya sekeluarga "merajuk" dari bumi Pahang untuk kembali ke Selangor.


Pukullah gendang kulit kerbau
Dalam majlis tari menari
Sayalah ini dagang merantau
Mengharap belas orang di sini

Kepada jiran-jiran di Taman Seroja, Kg Benus dan warga Bentung amnya, yang baik hati, sentiasa menjadi tuan rumah yang prihatin kepada kami sekeluarga, saya doakan mereka hidup aman sentosa berbahagia selama-lamanya.

Anda tahu di mana Tanjung Sepat?


bersambung...

Menoleh Kebelakang Mengimbau Kenangan Silam 3



Hidup Berkerjaya & Berkeluarga

Pada 10hb September 2008, genaplah 18 tahun saya berkerja dengan Public Bank Berhad (PBB). Mengambil kira tempuh 4 tahun 6 bulan saya berkerja dengan Sim Lim Finance yang kemudian menukar namanya kepada Visia Finance Berhad sebelum saya menyertai PBB, maka sudah 22 tahun 6 bulan saya bekerja di industri kewangan/perbankan.

Sungguhpun sewaktu di zaman persekolahan abah selalu membawa saya menemaninya ke bank untuk mengambil gaji, tidak pernah terlintas di hati maupun menjadi cita-cita saya hendak bekerja di bank. Namun, saya begitu kagum dengan tahap professionalisma pekerja-pekerja bank, lebih-lebih lagi pegawai-pegawai lelaki yang kelihatan tampan bertali-leher sambil memberi arahan kadang-kadang memberi penerangan kepada pelanggan bank.

Hari ini, saya bersyukur kepada Allah s w t kerana dengan izin dan rahmat Nya, saya berjaya menempuh seribu satu peristiwa yang menjadi pengalaman suka duka dalam kerjaya sektor kewangan yang saya ceburi ini. Saya diberi kesempatan untuk bekerja dan berurusan dengan manusia yang datang dari latar belakang yang berbeza-beza. Juga, saya berpeluang bekerja di beberapa bandar yang jauh dari Kuala Lumpur, kota metropolitan di mana saya dibesarkan. Tanpa saya sedari, setelah lama menetap di bandar-bandar kecil ini, telah banyak mempengaruhi corak kehidupan dan peribadi saya.

Saya mula tertarik dengan kehidupan yang jauh dari hingar-bingar kota yang sentiasa sesak, sibuk, pantas dan panas. Saya mula benci kepada wajah-wajah Kuala Lumpur yang pada suatu masa dahulu adalah taman besar permainan saya. Sesungguhnya, saya percaya dan yakin, semua yang telah saya lalui adalah berkat dan restu allahyarhamah emak dan abah.

Klang Bandar DiRaja - inilah bandar pertama tempat saya mula bekerja. Banyak pengalaman yang saya dapat seperti tinggal di rumah bujang selama dua bulan, belajar memandu dan seterusnya dapat lesen memandu dan of course berjumpa tunang!

Petaling Jaya (PJ) - beberapa bulan selepas mendirikan rumahtangga, saya dipindahkan ke cawangan Seksyen 14 Petaling Jaya. Bandar besar, perniagaan pun rancak. Sayang, pengurus perempuannya "bossy"lah. Kebetulan, isteri berpindah ke cawangan PJ juga. Faham-faham sajalah, baru kahwin kerja berdekatan pula, lunch sama-sama hari-hari. Beli kereta yang pertama.

Tampin - Pekan sempadan antara NS dan Melaka. Tinggalkan Lembah Klang dan menyewa rumah teres empat bilik yang sewanya cuma RM150 saja. Tanggungjawab di pejabat lebih berat di mana melainkan akaun, saya ditugaskan menjaga pinjaman sewa-beli, mesin ATM, pinjaman perumahan dan deposit/kaunter.

Ingat lagi saya, polis talipon pukul 2 pagi, katanya, alarm pejabat bunyi, satu Tampin bising. Bila saya pergi nak matikan alarm, kereta peronda dah tunggu - selamat rasanya. Kek Tampin jugolah den tukar kereto - Proton Saga baru - RM29,000 mahal tu. Dikurniakan anak kedua dan ketiga. Bila isteri di kampung melahirkan anak, tinggallah saya sorang-sorang di Tampin. Masak dah lah saya tak pandai, saya melantak mee maggi ajalah. Apo nak buek? Tampin ni dekat dengan Melaka, saya pun selalu ambik kesempatan ke Melaka Bandaraya Bersejarah bawa isteri dan anak-anak yang masa tu kecil lagi, tak banyak cerita. Sebelum ni, saya dengar saja Melaka, Muar, PD, Kuala Pilah, Tangkak, Seremban, Linggi, Jelebu, Rembau. Tak disangka-sangka, akhirnya saya sampai juga pekan-pekan tu. Minah Tampin? Boleh tahan jugak. Baik jugalah saya dah kahwin, kalau tak, "masuk suku" lah den. Satu hari dalam bulan apa saya pun dah tak ingat tahun 1993, dapat berita saya akan dinaikkan pangkat ke assistant manager di cawangan Bentong, Pahang. Serba salah saya dibuatnya. Dah best-best kek Tampin, kawan dah ramai, jiran pun baik semuo, arnab yang saya bela pun dah beranak-pinak, isteri saya pun dah serasi kerja di Bank Islam Tampin, tiba-tiba berita ni sampai pulak. Camano ni? Nak pergi ke tak nak pergi? Akhirnyo......


bersambung