Sunday, June 20, 2010

ABAH - Pengenalan

Aku sedang membantu isteri di dapur pagi tadi bila Yanti menalipun. Dalilah menjawab dan mereka berdialog untuk beberapa ketika.

Setelah siap siang ikan dan potong-potong ayam, basuh sambil membacakan selawat, aku letakkan dalam peti sejuk. Selesai kerja. Terasa sudah lama aku tidak menolong Dalilah dengan kerja-kerja dapur.

"Yanti tanya apa?" aku bertanyakan Dalilah
"Dia tanya abang tak ke pejabat ke hari ni?" jawab Dalilah.

Memang sudah menjadi biasa, hari Ahad pun aku sering ke pejabat menghabiskan kerja-kerja yang tidak pernah habis.

"Saya katalah awak tak ke pejabat harini." kata Dalilah lagi.
"Lagi apa Yanti cerita?" aku tanya Dalilah.
"Dia tanya abang tak ke Paya Jaras ke hari ni, abah asyik sebut nama abang Bad je." jawab Dalilah.
"Nantilah, petang sikit abang pergilah ke Paya Jaras." kataku pada Dalilah yang mengangguk saja tanda setuju.

Abah, Hj Said memang macam itulah saban hari. Satu demi satu nama anak-anaknya disebut. Dia tanya kepada Yanti (adik bongsu) dan makcik Pe'ah (mak tiri) hampir setiap kesempatan waktu dan di dalam kesedarannya.

Abah menghabiskan hari-hari tuanya kini cuma berbaring di atas katil di tengah rumah yang diupah bina hasil duit simpanannya sewaktu bekerja dulu.

Abah sudah tua, terlalu lemah dan tak terdaya hatta untuk menggerakkan dirinya sendiri. Kadang-kadang bila dia bercakap dengan orang, soalan-soalan yang sama diulangi.

Abah yang lahir di Kg Baru, Kuala Lumpur pada tanggal 29 Januari 1928 adalah anak yang ketiga dari sepuluh orang anak kepada pasangan Hj Suleiman Ariffin dan Maimunah bt Hj Noh (datuk dan nenek). Kecuali abah dan adiknya Adam yang tinggal di Kg Simpang Balak, Kajang, yang lain telah pun meninggal dunia.

Sempena menyambut Hari Bapa, pada hari ini akan ku nukilkan kisah abah, sepanjang ingatanku menjadi anak kepadanya dari kecil hinggalah kehari ini, 20 Jun, 2010.

Islam tidak ada istilah hari bapa kerana, Islam meletakkan kedudukan kedua ibu dan bapa terlalu tinggi, setinggi darjat denganNya. Murka kedua ibu dan bapa adalah kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala. Kasih sayang kepada kepada ibu bapa setiap saat, setiap degup jantung, selagi kita bernafas. Bukan kerana hari ibu, hari bapa.

Namun, biarlah hari ini, aku mulakan kisah abah.

1 comment:

Hayati Kehidupan said...

tanpa dia... kita bukan sesiapa...