Friday, June 4, 2010

Hujan pun turun dengan lebatnya

Salam sejahtera

Jika mahu diikutkan beratnya mata, mau sahaja saya naik ke bilik dan tidur.
Jika mahu diikutkan lesunya badan, mahu saja saya lena, insyaAllah esuk bangun, hilanglah kelesuan.

Namun, siaran 'live' di Astro 811 antara juara Eropah Sepanyol dan gergasi Asia, Korea Selatan tak pula mahu saya lepaskan walau perlawanan ini cuma sebagai pemanas badan buat kedua-dua pasukan sebelum mereka ke Afrika Selatan.

Hari ini, Jumaat, 4 Jun 2010. Hari terakhir persekolahan sebelum cuti semester selama 2 minggu.

Pasti, ramai yang turut sama bercuti. Di pejabat semalam, seorang staff dengan loghat utaranya bertanya,

"Encik Bad tak cuti ka masa cuti sekolah ni?"

Saya menjawab,

"Kau ni dah kenapa dah, namanya pun cuti sekolah, budak sekolahlah cuti.
Kalau cuti kerja, barulah orang yang kerja pulak cuti!"

"Ya tak ya jugak ya En Bad?" jawab staff itu.

Jawapan saya pada hakikatnya lebih kepada mahu "sedapkan" hati sahaja. Sedang jika mahu diturutkan kemahuan saya, memang saya ingin sangat pergi bercuti. Walaubagaimanapun, cuti kepada saya sudah tidak dalam ertinya yang sebenar. Apakan daya, kerja saya sudah begitu kehendaknya.

Saya ciptakan satu 'statement' yang berbunyi, bercuti di mata, berkerja di minda".

Petang tadi seperti petang-petang yang lain, langit tiba-tiba sahaja mendung dan diikuti dengan angin yang bertiup kencang. Selang beberapa minit kemudian, hujan pun turun dengan lebatnya.

Hujan pasti mengakibatkan lebuhraya menjadi sesak dan itu juga bererti saya tak dapat tunaikan permintaan anak saya Fathiah untuk kesekolahnya untuk menghadhiri majlis solat hajat dan seterusnya membaca Surah Yaasin untuk mendoakan kejayaan anak, murid-murid tahun 6 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR bulan September nanti.

Dengan hati yang sangat berat, saya hantar mesej melalui sms ke rumah, memohon maaf kepada Fathiah. Saya katakan kepada Fathiah bahawa saya akan sentiasa doakan kejayaannya.

Dan setibanya saya di rumah tadi, seperti yang sudah saya jangkakan, Fathiah kelihatan sugul dan diam, enggan melihat wajah abahnya.

Insya Allah, esok akan hujan lagi dan rahmat Allah tiada siapa yang dapat nafikan.


1 comment:

Anonymous said...

Bonjour Le Beau Garcon,

Welcome to the blogging club. Kinda a simple but nice blog. Continue writing coz u gonna get many followers.