Friday, June 25, 2010

ABAH - Biar anak menangis

Awal pagi tadi, abah dimasukkan ke wad di Hospital Pakar Damansara sekali lagi. Sebagaimana kali pertama dan kedua abah di masukkan ke wad pada bulan April dan Mei lepas, fikiran ku terganggu lagi.

Dalam kesibukkan tugas harian, aku tak dapat tenangkan fikiran. Wajah dan jasadku dilihat bekerja sedangkan hati dan mindaku bercelaru, berkecamuk. Tadi sewaktu memandu pulang, fikiran ku melayang jauh. Aku teringatkan abah.

Abah seorang yang garang, keras, berdisiplin tinggi dan tegas dalam berpendirian. Abah jarang sekali menyebut kata-kata sayang kepada arwah emak dan kami, anak-anaknya. Padaku, abah tidak pernah kenal hati budi dan perasaan anak-anaknya. Tidak sehingga aku pula menjadi ayah.

Bila abah menghukum anak-anaknya, hukumannya terlalu berat dan menyakitkan. Tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Abah selalu ucap, "biar anak menangis, jangan mak bapak yang menangis!" Memanglah, memang anak-anaknya menangis, yang dihukum dan yang melihat hukuman. Semasa aku masih kecil, aku selalu menangis melihat abang-abangku dirotan abah. Rayuan arwah emak tidak pernah dihiraukan langsung malah, arwah emak pula dimarah. Hati ibu mana yang tidak hancur melihat anaknya disakiti waimah oleh suaminya sendiri. Kalau iyapun mahu mendidik, tidaklah sehingga anak-anaknya disakiti dengan kejam.

Masa berlalu, kini anak-anak abah membesar menjadi ayah kepada cucu-cucunya. Akulah yang kejam kerana berprasangka buruk kepada abah. Berdosanya aku kerana berfikiran negatif kepada abah. Hatiku hancur remuk bilamana aku terpaksa merotan, menghukum anak-anakku yang bersalah dan perlukan "didikan". Aku mahu didik anak-anakku, biar mereka membesar jadi orang, jadi manusia, jadi anak-anak soleh dan solehah.

Dan fahamlah aku bahawa hati abah juga hancur remuk dan pasti dia juga menangis bila terpaksa menjalankan tanggungjawabnya mendidik kami. Cuma tidak dipamirkan sahaja.

Dan tahulah aku sekarang bahawa sebenarnya, seperti juga aku, abah sangat sayangkan anak-anaknya.

Akukan anak abah.

1 comment:

Anonymous said...

Mendidik anak2 amatlah payah... Tanggung jawab kita memastikan mereka bukannya bahan bakar api neraka.... (At tahrim). Tapi ada masa kita sama-sama perlu memohon ..

"Ya Muhaimin... Kau yang Maha Memelihara... Kau Pelihara anak-anak kami, zuriat kami dan segala keturan kami, sesungguhnya kami in.. hanya manusia yang lemah.. Kami berdaya Ya Allah... maka aku menyerahkan mereka Ya Allah kepada mu.. kau lah sebaik2 Pemelihara dan sebaik-baik Pendidk."

Enjoy selalu!