Saturday, July 3, 2010

AKU BUDAK KAMPUS

Mukaddimah

Sebagai seorang yang telah gagal SPM dalam tahun 1980, kemudian mengulang di tahun 1981, saya langsung tidak mengharap untuk terus sambung belajar di mana-mana pusat pengajian tinggi. Walaupun pintu hati hampir tertutup untuk belajar, saya masih menyimpan sekelumit azam untuk memperbaiki status pendidikan diri. Dan setelah belajar bersungguh-sungguh, akhirnya saya berjaya juga lulus SPM dalam tahun 1982. Semangat saya kembali membara.

Takdir menentukan saya berjaya melangkah kaki ke ITM mengikuti kursus diploma pengajian bank. Ya, saya berjaya juga ke kampus. Aku budak kampus.

Kini, setelah 25 tahun meninggalkan kampus ITM Shah Alam, anak saya pula melangkahkan kakinya ke kampus yang pernah mencatatkan seribu satu pengalaman bapanya. Dia ditawarkan mengikuti 'fast-track' kursus ijazah sarjana muda pentadbiran sukan (setelah habiskan 3 semester di kampus Arau) .

Nampaknya ikatan saya dengan ITM (kini UiTM) kampus Shah Alam akan berterusan untuk beberapa tahun lagi. Dan sempena pertemuan semula (reunion) 25 tahun DIB ITM Shah Alam pada 31 Julai nanti, saya nukilkan di blog ini, rentetan pengalaman sejauh mana yang masih dapat diingat, buat bacaan sesiapa yang mahu membacanya.

No comments: