Saturday, July 3, 2010

AKU BUDAK KAMPUS - Meniti Cerun-Cerun Kehidupan 1



Aku berlari-lari anak ke pejabat sekolah (VI) bila diberitahu ada panggilan talipun untukku.

"Bad, itu hari kau ada apply ITM ke?" tanya abah
"Ya abah, kenapa?" tanyaku menantikan jawapan penuh debaran.
"Ha, tu ada surat tawarannya dah sampai kat rumah" kata abah.

Panggilan talipun abah itu telah mengubah seluruh perasaan dan mindaku. Aku sangat bersyukur kerana berkat usaha gigihku menebus kesilapan lalu, bersama doa-doaku, aku telah mengubat luka dihatiku. Mengubat luka di hati emak dan abah.

Pada hari yang ditetapkan, aku menjejakkan kakiku di kampus ITM Shah Alam. Dengan serta merta aku menjadi kerdil di tengah-tengah lautan manusia, di kehijauan kampus yang luas terbentang. Di luar kawasan kampus, ladang kelapa sawit luas, saujana mata memandang.

"Oohhh, tadi engkorang pandang kitorang sedikit pun tak hormat aah! Bagi salam pun tak. Mentang-mentang ada mak bapak korang, kau buat kami ni macam kuli je hah!" bebel OC Sidek.
Biasalah, senior. Kalau tak tunjuk lagak sekarang, bila lagi ye tak?

Aku, Zulkifli Salleh, Husni, Baidilleh sama bilik di asrama Seroja sewaktu minggu orientasi. Zul dari Tangkak, Husni dari Muar manakala Baidi budak Kota Baru. Kami berempat berkongsi bersama 4 lagi siswa kursus yang lain. Aduuii, minggu Orientasi sangat memenatkan, mengantuk kerana tak cukup tidur. Dalam surau selepas sembahyang subuh ada kuliah subuh. Yang tertidur lebih ramai dari yang terjaga. Malamnya, kami dipaksa panjat bukit yang menuju ke Dewan Sri Budiman.

Setelah seminggu menjalani orientasi, kami ditempatkan di rumah teres empat bilik di Seksyen 2 yang berdekatan kampus, di Jalan Teratai 2/84 jika tak silap aku. Nombor rumah, aku dah tak ingat.

Dan bermulalah kehidupan kampus ku.


No comments: