Wednesday, June 2, 2010

Bolasepak dan Saya






Perkenalan saya dengan bolasepak bermula pada umur saya 7 tahun yakni pada tahun 1970. Pada tahun itu, Piala Dunia FIFA diadakan di Mexico. Dan kita semua tahu Brazil yang dibarisi oleh pemain-pemain handalan seperti 'King' Pele, Rivelino, Jairzinho, Tastao dan Carlos Alberto telah menjuarai kejohanan itu bila mereka menewaskan Italy 4-1 dalam perlawan akhir.

Saya juga mula mengenali pasukan-pasukan kelab Inggeris seperti Leeds United, Wolverhampton Wanderers, Liverpool, Manchester United, Arsenal, QPR, Stoke City dan banyak lagi. Rancangan bolasepak siaran RTM pada waktu itu dikenali sebagai Star Soccer. Tentunya gambar hitam putih. Saya meminati Stoke City dan Sunderland. Sewaktu di VI saya minat Ipswich Town FC dan akhirnya sewaktu belajar di ITM, saya mula meminati Manchester United hinggalah sekarang.

Di arena bolasepak tempatan pula, nama-nama seperti Syed Ahmad, Abdul Ghani Minhat, Soh Chin Aun, Bhawandi Hiralal, Mokhtar Dahari, Wong Choon Wah, Wong Kam Fook sangat diminati peminat-peminat bolasepak tanahair. Perlu saya katakan bahawa pasukan negara pada waktu itu sangat disegani oleh negara-negara lain di benua Asia. Tidak seperti sekarang, taraf permainan negara kita setanding dengan nama-nama besar Asia yang lain seperti Korea Selatan dan Utara, Jepun, Iran, Kuwait dan China. Malahan pasukan-pasukan Liga Inggeris sering juga berkunjung ke negara kita untuk bermain dengan pasukan negara.

Sedikit demi sedikit saya mula mengasah bakat saya dalam permainan bolasepak. Ternyata, bakat dan kebolehan saya tidak jauh mana. Saya cuma dapat mewakili sekolah VI, pasukan kursus DIB sewaktu di ITM dan bermain untuk pasukan pejabat, itupun tidak berapa aktif.

Dan sekarang, saya dan juga jutaan lagipeminat sukan bolasepak seluruh dunia, sedang menanti Piala Dunia FIFA yang akan bermula 8 hari saja lagi.

No comments: