Thursday, August 13, 2009

Zaman Kanak-Kanak Riang -3


...........tak lain tak bukan, klinik gigi sekolah yang terletak di hujung blok darjah 6. Yang aku sangat geram ialah setiap kali nurse nyonya atau pembantu dia datang ke darjah aku, nama aku mesti naik. Kelabu asap punya doktor! Itu sebab sampai ke hari ini, dah tua - tua ni, aku sangat fobia dengan klinik gigi. Ada suatu ketika, keluarga kami didatangi oleh beberapa orang tua yang emak dan abah kata saudara dari kampung, Kajang. Nenek, datuk dan makcik aku. Maka tahulah aku bahawa aku sebenarnya bukan orang Ipoh, tetapi asal keturunan aku ialah Kajang (sebelah emak) dan KL (sebelah abah). Dan aku dengar mereka bercakap dengan satu bahasa yang tak pernah aku dengar selama ini. Bunyinya lebihkurang "kelentang, kelentung". Emak kata itulah bahasa ibunda kami iaitu bahasa Jawa, aku ni keturunan Jawa rupanya dan Selangor adalah negeri kampung halaman kami sekeluarga. Jawa? Ah, apa pulak? Aku orang Ipoh, kawan-kawan aku semua ada di Ipoh dan bila musim bolasepak Piala Malaysia, aku akan ikut abang Yasin tengok bola di Stadium Ipoh dan bersorak untuk pasukan negeri Perak.

Di Taman DR Seenivasagam, aku mengasah bakat bermain bolasepak. Kebetulan, kami ada seorang kawan bermain namanya Razif kalau tak silap aku. Tetapi cara dia cakap ada sedikit pelik. Lagu ni, lagu tu, mai sini, biag pi.....eh apa punya bahasa budak ni cakap ni? Kata hati aku. Emak kata itu cara cakap orang Utara - PPinang, Kedah atau Perlis. Di padang itulah juga pasukan negeri Perak berlatih dan pada suatu hari aku bersemuka dengan bintang bolasepak Malaysia, Syed Ahmad. Gol jaringan Syed Ahmadlah yang telah menewaskan Korea Selatan dan seterusnya melayakkan Malaysia ke Temasya Sukan Olimpik di Munich pada tahun 1972. Sekarang jangankan kata nak tewaskan Korea Selatan, lawan Vietnam pun tak boleh makan. Bila aku dah pandai naik basikal (darjah 4 lah agaknya), aku pun rajinlah merayau-rayau ke tempat berdekatan seperti Green Town, Fair Park, Jalan Padang Tembak dan Kg Simee. Jika mahu pergi ke rumah kawan-kawan yang jauh sedikit seperti Sg Rokam, Jln Kuala Kangsar, Gunung Rapat dan Pasir Pinji, aku akan naik bas. Mungkin pada waktu itu, kadar jenayah sangat rendah maka emak dan abah pun tak keberatan melepaskan aku berjalan. Kadang-kadang bila cuti sekolah, abah akan bawa kami ke sekolah Vokasional tempat dia mengajar (sebelah rumah je). Tetapi sekolah abah lain dari sekolah-sekolah lain yang aku tengok. Ada batu bata dan simen (Jabatan Bangunan) ada jentera berat (Jabatan Mesin) ada kerja kimpalan (Jabatan Kimpalan) dan yang paling best, pejabat abah adalah di Jabatan Motor Mekanik - ada lori, ada van dan ada jip 4X4. Rupa-rupanya abah guru repair kereta dan yang sewaktu dengannya. Aku pun naik atas lori dan pandu (buat bunyi lori pakai mulutlah).

Satu perkara yang aku perhatikan tentang abah, dia tidak pernah utamakan kerjanya melebihi keluarganya. Sungguhpun dia sangat garang dan bengis mendidik kami, dia akan dulukan kami dari segala-galanya. Masa berlalu kami tujuh beradik hidup bersama-sama hinggalah pada tahun 1974 (aku di darjah 5) emak kata kami nak dapat adik (lagi).

No comments: