Thursday, August 13, 2009

Zaman Kanak Kanak Riang - 4

Suatu hari dalam bulan Julai 1974, emak dikejarkan ke Hospital Besar Ipoh kerana nak bersalin. Setelah separuh hari, akhirnya kami mendapat berita bahawa emak telah selamat melahirkan adik kami, seorang perempuan. Kata abah, perut emak terpaksa dibedah. Akupun terfikir "eh, selama ini macamana kitaorang keluar dari perut emak?" Emak sangat gembira kerana akhirnya Allah SWT kurniakan jua kepadanya seorang anak perempuan. Manakan tidak, 7 orang anak lelaki semuanya dengan bermacam-macam perangai. Masa pun berlalu sehinggalah pada suatu hari, kami adik beradik mendapat tahu yang kami sekeluarga akan berpindah ke Kuala Lumpur, ibunegara Malaysia, kota metropolitan. Rupa-rupanya, abah telah lama memohon untuk berpindah balik ke KL dan permohonannya diluluskan juga. Itu bererti, abah akan mula mengajar di SM Vokasional Setapak, KL pada Januari 1975. Dan aku, akan berpindah sekolah ke KL, hai lagi setahun je aku tamatkan sekolah rendah. Aku terpaksa tinggalkan kawan-kawan setia aku, oh tidak, tidak..... Pada November 1974, akupun tinggalkan Ipoh yang aku harap akan datang lagi tetapi entah bila. Abah kata kami akan "tinggal sementara" di rumah datuk Leman di Kg Baru, KL sementara tunggu rumah yang abah nak bina di Paya Jaras, Sg Buloh siap. Aku telah menyambung pelajaran darjah 6 di SRJK Jalan Raja Muda (bersebelahan Masjid India Jln Raja Muda dan pasar Chow Kit). Hari pertama aku masuk sekolah, malu tak dapat dibendung kerana itulah pertama kali aku sekelas dengan murid2 perempuan, aku tak bolehlah, aku tak biasa, aku malu. Puan Rosmah, guru kelas 6A memperkenalkan aku dengan murid-murid yang bakal sekelas dengan aku.

Malunya......kemudian aku disuruh duduk di barisan belakang sekali dengan seorang budak perempuan yang dari gelagatnya, tak sudi langsung memandang muka aku. Namanya Peridah. Dia kata polis yang waktu bapak dia daftarkan sijil kelahirannya, tak reti eja, Faridah jadi Peridah. Lojik juga kerana adik dia di darjah lima namanya Fatimah. Budak-budak sekolah tu panggil aku "Budak Perak". Di arena sukan, aku wakil sekolah dalam permainan badminton dan tak lain tak bukan, bolasepak. Terror tu tak lah sangat, tapi ternganga jugaklah mulut budak-budak tu tengok aku main. Nah, baru kau kenal siapa "Budak Perak" ni.

Dalam kelas pula, aku mula rapatkan hubungan dengan semua rakan sekelas tetapi yang paling rapat sekali selain Peridah ialah dua orang yang duduk di hadapan kami, Khafidz dan Saleha. (Aku dan Khafidz gelarkan Peridah "Ronson" kerana suka report hal kepada Puan Rosmah manakala Saleha pula "Botak Chin" kerana bapak dia Pak Amin tu botak). Dalam kelas aku juga ada budak yang paling jahat dalam dunia, nama dia Reduan dan seorang yang baik hati nama dia Malik. Terbalik pulak, Malaikat Reduan jaga pintu syurga, Malaikat Malik penjaga pintu Neraka. Aku ingat lagi pada suatu hari dalam kelas di mana aku telah ditampar oleh Peridah kerana ......

No comments: