Friday, August 14, 2009

Zaman Kanak-Kanak Riang - Episod Terakhir

....kerana dia sekadar menunaikan janji aku kepadanya.

Aku ni kan dari kecil lagi memanglah dah tergagap-gagap kalau bercakap. Si Peridah ni busy body, dia cakaplah kepada aku

"Eh Subadri, orang tua-tua kata ubat budak gagap macam kau ni, bila tergagap-gagap tu kita bagi pelempang, dia mesti baik".
"Habis tu kenapa?" aku tanya.
"Boleh tak kau izinkan aku lempang kau bila kau gagap? Tapi janji kau jangan marah aku tau" Peridah minta kepastian.
"OK jugak tu, aku pun teringin nak baik" jawab aku pulak.....tak sangka yang dia ambil serious pasal tu. Jadi pada hari yang malang tu, sedang aku bercakap-cakap dengan dia di dalam kelas, dia pun dengan tak rasa segan dan malu terus
"Paaannng!!!" dilempangnya aku dengan tangan kirinya (Peridah ni kidal). Fuh, keluar bintang kau.

Sumpah aku takkan berjanji lagi dengan budak perempuan macam Peridah. Gagap tak baik, pening lalat yang aku dapat. Tetapi kerana dah berjanji punya pasal, terima sajalah padahnya. Satu peristiwa lagi yang aku takkan lupa ialah sewaktu banjir besar yang melanda Kg Baru/KL. Tenggelam bawah rumah Datuk Leman aku. Tetapi aku dan adik beradik yang tak pernah punya pengalaman banjir tak bazirkan masa, main air banjirlah.

Oh ya tak ya, aku belum cerita lagi bila aku berkhatan kan? Oleh kerana itu hal terlalu personal, aku tak mau ceritalah. Malu. Anyway, kami adik beradik semua berkhatan dengan abang nenek (pakcik emak aku), namanya Wak Noor (arwah) yang tinggal di Kg Sg Ramal Dalam, Kajang. Wak Noor ni punya handal nyunatkan orang, sampai Sabah Sarawak pun dia kena panggil. Tahun 1975 juga merupakan tahun di mana Malaysia menjadi tuan rumah Hoki Piala Dunia. Apalagi, akupun jadilah pemain hoki dengan kawan-kawan sekampung. Pada bulan puasa, aku ikut kawan kawan pergi berbuka puasa dan sembahyang maghrib, isyak dan seterusnya berterawih di Masjid Jamek Kg Baru(Masjid Reformasi). Petang hari kami bersantai di Jalan Perkins (Jalan Raja Alang - tengok gelagat dan aktiviti pasar Ramadhan).

Selain dari kawan-kawan sekampung, aku juga rapat dengan Khafidz di luar waktu sekolah. Hujung minggu saja, aku mesti hilang pergi jumpa dia. Ronda satu Kg Baru dengan basikal chopper dia. Di sekolah, prestasi akademik aku bolehlah dikatakan cemerlang juga. Aku dapat No 3 dlm darjah, kira murid lelaki paling terror. Arman, murid lelaki kedua terbaik No 9. Dipendekkan cerita, satu hari tu di hujung tahun 1975, Mrs Cheah, guru besar masuk darjah untuk mengumumkan nama murid-murid yang berjaya ke sekolah elit. Lelaki ke VI dan perempuan pula ke SMP Convent Bukit Nenas. Aku, Arman dan Shaharuddin ke VI. Khafidz dan ramai lagi ke SM Jalan Maxwell sementara Peridah dan Saleha ke SMP Jalan Ampang. Bila bercerita pasal hal ini, betul betul buat aku kesal sebab dalam kami berempat, akulah yang sangat bertuah dapat ke VI. Sayangnya, aku tak gunakan kesempatan belajar dengan baik (refer to WARISAN SEJARAH)

(Khafidz sekarang seorang doktor perubatan yang berjaya, ada beberapa buah klinik, yang utama di Taman Industri Kajang, Klinik Khafidz namanya. Peridah pula pensyarah matematik Fakulti Kejuruteraan di UiTM, Pulau Pinang. Saleha jadi pengusaha TASKI berdekatan dengan rumahnya di Kg Baru Melayu Ampang. Dia tak habis belajar jurusan perubatan di UKM, sebabnya aku sendiri kurang pasti. Dengar cerita dari Peridah, dia belum kahwin. Hingga ke hari ini, kami berempat masih lagi saling berhubungan antara satu sama lain)

Masa aku berulang dari rumah Datuk Leman ke VI, aku naik bas Sri Jaya di Chow Kit, tambang 15 sen kalau tak silap ingatan aku. Baliknya tunggu kat Toshiba juga naik bas Sri Jaya. Waktu itu, Central Market masih pasar basah lagi. Pasar basah biasa, jual ikan, sayur, ayam, daging, rempah ratus dan macam-macamlah lagi yang ada dijual di pasar. Dua peristiwa besar sewaktu aku tinggal di KL ialah peristiwa Japanese Red Army tawan American Embassy di Bangunan AIA Jalan Ampang dan terbakarnya bangunan Pusat Beli Belah Campbell.

Tahun 1977 rumah kami di Paya Jaras pun sudah siap, sedia diduduki. Maka pada November 1977, kami pun berpindah lah ke Paya Jaras. Jadi, begitulah berakhirnya cerita aku di zaman kanak-kanak yang dapat aku kisahkan sebegitu ringkas. Sekadar mahu kongsikan pengalaman dengan anda

No comments: