Friday, February 19, 2010

Menoleh Kebelakang Mengimbau Kenangan Silam 2




"Kawan perempuan lain? Mana ada mak....Memanglah ada seorang dua lagi yang saya suka tapi.., saya rasa dia orang pun dah kahwin agaknya".

"Yang saya suka, mak dan abah tak mahu", saya cuba membangkitkan kekesalan.
Itulah yang terjadi, itulah rahsia yang kini bukan lagi rahsia. Tak perlulah saya butirkan rentetan peristiwa sedih itu cuma cukuplah sekadar saya katakan bahawa kasih sayang kepada kedua ibu-bapa saya melebihi cinta kepada wanita yang telah saya mungkiri janji saya kepadanya. Saya difahamkan, hampir semua wanita tidak menyukai lelaki yang berpendirian seperti saya, betul kah begitu? Apa pula pendapat ibu-bapa yang memiliki anak yang berpendirian seperti saya itu?
"Sudahlah Bad, yang dah lepas tu sudahlah, jangan kau ungkit-ungkit lagi" emak cuba memujuk. "Kat tempat kerja kau tak ada ke?" sambung mak.

Aku diam. Suasana hening. Melihat aku diam tanpa respon, emak bertanya lagi

"Kalau mak dan abah carikan, kau nak tak?" Aku terkejut tetapi lucu.
"Mak, ini bukan tahun 50an lagi lah mak......dulu bolehlah, mak dan abah kahwin tak kenal, sekarang mana ada budak perempuan nak kahwin dengan lelaki yang diaorang tak kenal?" jawab saya dengan nada perlahan.

"Dah lah mak, tak payah susah-susah, kalau ada jodoh kahwinlah saya mak, macamlah saya dah jadi bujang terlajak dan tak laku pulak" sambung saya pada mak.
Mak tak puas hati dan berkata "Ok, nanti kalau mak cari, jumpa, kau kahwin ya".

"Suka hati emak lah, tapi jangan buat malu saya, apa pulak kata orang nanti, lelaki tak pandai cari jodoh?"
Masa berlalu tidak begitu lama bila pada suatu hari emak berkata kepada saya, "Bad, kau tahu tak Wak Opah dan bininya Wak Munayah yang tinggal kat Bukit Kapar tu?"
(Wak Opah adalah sepupu kepada ayah dan seingat saya, pernah kerumahnya sekali dua dan nampak anak gadis dia yang mak maksudkan tu, boleh tahan juga....)



"Tahu, kenapa?""Mak dengar diaorang ada anak dara yang belum kahwin lagi, kalau mak talipon Wak Munayah tu kau setuju tak?" emak begitu beria-ia sekali.
Kerana tak mahu kecilkan hati emak, saya tunjukkan sedikit minat dan bertanya "kerja kat mana budak tu?".
"Katanya, kat Bank Islam, KL" emak menjawab.
"Hah, confirm dia tak nak saya. Orang kerja bank kat KL lagi, mesti ramai boyfren tu. Tak payah lah mak, cari orang lainlah". Itu yang tersurat, yang tersirat, lain.



Kata orang, jodoh pertemuan kita sudah ditentukan Allah swt yang Maha Mengetahui. Apa yang berlaku selepas perbualan dengan Allahyarham emak pada hari itu semuanya adalah perancangan manusia yang telah mendapat keizinanNya. Dialah yang juga yang merencanakan bahawa pada tanggal 29 Julai 1989, saya disatukan dengan isteri saya yang membuat pengakuan bahawa :-

1. dia benci melihat saya pada kali pertama kami bertemu selepas bertunang kerana berani merosakkan rancangannya

2. akhirnya mencintai saya 2 minggu sebelum hari pernikahan kerana melihat ketulusan hati saya dan menyerahkan kepada Allah untuk hidup bahagia bersama saya hingga keakhir hayatnya.

3. yang saya sebenarnya menepati ciri-ciri lelaki idamannya, tall, dark and .... (pengakuan yang ini saya tak hairanlah, bukan begitu kawan-kawan siswi semua??)

4. kalau diizinkan Allah, mahu anak 6 orang.

Hari ini, setelah lebih 19 tahun mendirikan rumahtangga, bersama-sama meredah onak dan ranjau kehidupan berkeluarga, kami dikurniakan dengan 4 orang anak lelaki dan 3 orang anak perempuan. Lebih dari mencukupi untuk mewarnai dan menghiasi kehidupan saya dengan berbagai kerenah dan fe'el masing-masing. Satu hal yang pasti, mereka tidak pernah dan tidak akan berdiri tercegat di hadapan kedai melihat gula-gula Mentos sambil memikirkan bahawa pada suatu masa dulu mereka begitu teringin tetapi tak mampu membelinya.


Menemani isteri dalam bilik bersalin

Melainkan ketika melahirkan anak yang ketiga di hospital kerajaan, saya berada bersama isteri ketika di saat-saat dia melahirkan anak kami yang lain itu.
Demi mahu memberikan kekuatan kepada isteri dan mahu dia tahu bahawa dia tidak bersendirian di saat-saat dia menanggung kesakitan, saya gagahi segala perasaan takut. Setiap kali selepas menyaksikan segalanya, saya akan mengalirkan airmata. Pertama, kerana gembira dan kedua, kagum melihat keagungan Tuhan menjadikan kaum Hawa yang memberikan kehidupan kepada seorang manusia yang bernama anak hatta menggadaikan nyawanya sendiri. Maka, apakah hak yang ada pada anak untuk melukai hati dan perasaan ibunya?




Bersambung....

No comments: