Saturday, February 20, 2010

Menoleh Kebelakang Mengimbau Kenangan Silam 4


Hidup Berkerjaya Hidup Berkeluarga

July 1993 - Akhirnya, setelah mendapat dan menerima pakai pandangan beberapa orang rakan sekerja, saya pun membuat keputusan untuk menerima tawaran kenaikan pangkat sebagai penolong pengurus Public Finance cawangan Bentung, Pahang Darul Makmur.

Keputusan untuk berhijrah ke Bentung bukan mudah untuk saya buat. Ia adalah kerana bukan sahaja saya terpaksa berpindah rumah, Dalilah juga terpaksa berpindah kerja samada ke Bank Islam cawangan Temerloh ataupun Klang. Oleh sebab dia enggan berpisah dengan saya dan mahu menuruti kemana sahaja saya ditugaskan, maka dengan berat hati terpaksalah dia memohon berhenti kerja dari Bank Islam.

Masih teriang-iang lagi di telinga saya akan katanya, "Abang, apalah erti wang ringgit kalau saya dan anak-anak hidup berjauhan dengan abang. Tak apalah bang, kita hidup sederhana asal cukup makan pakai kita sekeluarga. Saya tak mahu emas berjela, cuma kasih sayang dan ingatan abang kepada saya."

Besar sungguh pengorbanan Dalilah. Maklum sajalah, walaupun gajinya sebagai kerani tak sebanyak mana, tetapi boleh dia membeli barang keperluannya sendiri dan boleh juga dia memberi sedikit wang gajinya kepada ibunya di kampung. Mengikuti saya bererti itu takkan berlaku lagi.

Negeri Pahang Aman Sentosa
Kaya Dengan Tumbuh Tumbuhan
Sayalah Datang Nak Buat Jasa
Mudah Mudahan Tuhan Makbulkan

Begitulah serangkap pantun dari lagu Joget Pahang nyanyian seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan itulah juga pengharapan saya sewaktu kaki melangkah ke bumi negeri pahlawan termasyhur, Mat Kilau. Masa berlalu semakin hari semakin kami sekeluarga dapat sesuaikan diri dengan keadaan dan masyarakat setempat.

Satu hari saya diajak oleh seorang kawan dari Maybank untuk menyertai pasukan bolasepak The Bankers. Sekali main sahaja, terus dipilih menjadi pemain regular malah menjadi bualan pula! Saya ambil kesempatan melihat bandar Kuala Lipis, Raub, Temerloh, Mentakab, Kuantan, Kuala Pahang dan pantai peranginan Cherating.

Rezeki pun bertambah apabila saya bertukar kereta Proton Wira dan dikurniakan anak yang keempat, seorang perempuan - akhirnya.

Saya sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Kalau sejahtera yang saya harapkan, malapetaka yang saya terima. Tanpa saya sangka, bekerja tekun, rajin dan menjalin hubungan kerja yang erat dengan kakitangan bawahan serta menjana lebih banyak keuntungan bagi pihak cawangan telah menimbulkan rasa iri di hati pengurus cawangan. Jangankan kata hendak menggugat kedudukannya, terniat pun tiada.

Yang saya mahukan ialah hidup aman bahagia bersama keluarga di perantauan dan berbakti kepada masyarakat. Perbelanjaan pelajaran saya sewaktu di ITM dulu telah dibiayai oleh rakyat Malaysia, maka adalah adil saya membalasnya dengan bekerja secara jujur dan ikhlas walau kemana saya dihantar (patriotik!!!). Sedihnya, pengurus saya bertindak semakin hari semakin kejam. Dia menggunakan segala kekuasaan yang ada padanya untuk melemahkan semangat saya dan meletakkan kedudukan saya di pejabat setara hamba yang hina. Pada wajahnya yang manis terselindung perasaan iri yang sangat jahat. Saban hari saya pulang dari kerja, selera makan hilang. Kerap saya menitiskan airmata tatkala melihat anak-anak yang masih belum kenal erti kehidupan tidur bersama-sama.

Yang selalu saya bertanya pada diri, "apakah aku gagal sebagai seoarang ayah yang seharusnya memberikan anak-anaknya kehidupan yang baik?" Kerana ingatkan anak-anak dan isteri yang turut sabar menghadapi ujian Allah, saya tidak melenting sedikit pun walau diasak dibuli dengan sebegitu dasyat.

Kepada Allah SWT saya panjatkan doa agar berikan saya kekuatan untuk menghadapi dugaanNya. Allah telah makbulkan doa saya untuk berjasa kepada rakyat Pahang dan Allah juga menaikkan taraf saya sebagai hamba yang sabar. Pada suatu hari yang berbahagia, saya menerima satu panggilan talipon dari Bahagian Sumber Manusia yang memberitahu saya akan ditukarkan ke satu cawangan yang sangat terpencil. Mereka bertanya adakah saya mahu menerimanya? Adakah saya mahu menerimanya?? Saya jawab, jangan kata ke Tanjung Sepat (yang terletak lebihkurang 60km di pesisiran pantai barat daya Selangor, negeri tanah tumpah darahku) ke pelusuk manapun di Semenanjung Malaysia hatta kehujung dunia sekalipun, saya akan pergi asalkan keluar dari Bentung.

Melangkah setapak kebelakang, kalau betul perkiraan kita, adalah lebih baik kerana kita mungkin boleh melangkah beberapa langkah kehadapan. Saya keluar dari masalah yang saya hadapi itu dengan menjadi seorang insan yang lebih baik, tabah dan lebih matang. Ternyata kemenangan moral berpihak kepada saya kerana, pengurus saya itu langsung tidak diberitahu dan permintaannya kepada ibu pejabat untuk menahan perpindahan saya tidak dilayan. Sebagai seorang kafir, dia tidak tahu bahawa dia cuma makhluk yang kecil dan lemah, ada Allah yang berkuasa akan segala-galanya.

Kalau Damak, Deli dan ibunya merajuk meninggalkan Mersing dan kembali ke Pahang, pada hari itu saya sekeluarga "merajuk" dari bumi Pahang untuk kembali ke Selangor.


Pukullah gendang kulit kerbau
Dalam majlis tari menari
Sayalah ini dagang merantau
Mengharap belas orang di sini

Kepada jiran-jiran di Taman Seroja, Kg Benus dan warga Bentung amnya, yang baik hati, sentiasa menjadi tuan rumah yang prihatin kepada kami sekeluarga, saya doakan mereka hidup aman sentosa berbahagia selama-lamanya.

Anda tahu di mana Tanjung Sepat?


bersambung...

No comments: