Sunday, February 21, 2010

Menoleh Kebelakang Mengimbau Kenangan Silam 5



Hidup Berkerjaya Hidup Berkeluarga

August 1995 - Tanjung Sepat, sebuah pekan kecil terletak di pinggir pantai barat daya Selangor, 60 km dari bandar Klang. Dari Klang, kita pergi kearah Banting, Pantai Morib dan seterusnya melalui jalanraya pesisir pantai (seperti Kuantan ke Cherating) anda sampailah ke pekan 'cowboy' Tanjung Sepat. Kaum China merupakan majoriti 80%, Melayu 15% (polis dan penduduk kampung Tg Sepat Darat dan di taman perumahan berhampiran) dan selebihnya kaum-kaum lain. Aktiviti utama harian ialah perniagaan seperti peruncitan, pasar dan penyeludupan (aktif di waktu malam). Aktiviti pertanian utama ialah ternakan babi/khinzir dan kelapa sawit.

Setibanya kami dari Bentung, saya telah menyewa sebuah rumah di Kg Bukit Kapar untuk keluarga. Saya pula menyewa bilik di pekan Sg Pelik, Sepang. Untuk berulang harian pasti tak sanggup saya lakukan maka jadilah saya apa yang dipanggil "weekend husband, weekend father". Mencabar? Memang mencabar namun ada misi yang mahu saya laksanakan dan ada sesuatu yang mahu saya buktikan. Kalau hidup ini bak batu pengisar, saya akan buktikan bahawa saya adalah sejenis batu yang bakal bersinar apabila di kisar/gilap.

Pagi-pagi, gerai yang menjual daging babi di hadapan pejabat begitu laris jualannya. Petang hari pula, biasanya apabila dapat panggilan dari "ah long " kenalah kita tunggu "machai" mereka datang hantar duit hutang yang mereka pungut sepanjang hari. Janji sampai pukul 4 petang tetapi biasanya pukul 6 petang baru nampak batang hidung si-machai. Barulah kami boleh mengira tunai dan tutup vault. Bila tiba bulan Ramadan, saya bagai berada di negeri asing, bukan sahaja tak ada apa yang nak dimakan untuk berbuka puasa dan bersahur, malahan tak ada orang Melayu yang berniaga makanan di pekan Tanjung Sepat dan Sungai Pelik!

Haiiii, pelik, pelik.

Satu lagi yang pelik mengenai Tanjung Sepat ialah pekannya kerap sangat ketiadaan air. Namanya sahaja menggambarkan air. Tanjung seperti yang kita tahu, di kelilingi air, ikan sepat pun hidup dalam air. Tanjung Tokong, Tanjung Bunga, Tanjung Rhu, Tanjung Piai, semuanya di kelilingi air. Yang saya tahu tak ada kena mengena dengan air ialah Tanjung Rambutan. Khabarnya, keutamaan air paip disalurkan ke kawasan pembinaan di 'bandaraya untuk masa hadapan' Putrajaya, KLIA dan Litar F1.
Namun, semua kepelikan yang telah saya sebutkan tadi, tidak ada yang lebih pelik dari dua peristiwa yang akan saya sebut ini.

Pertama, ada seorang staff wanita berbangsa China pastinya, telah diam-diam jatuh hati kepada saya! Mula-mula memang lucu tetapi lama-lama yang saya sangka lucu menjadi kegerunan. Pernah dia ucapkan kepada saya bahawa sekiranya saya masih bujang, pasti dia akan meninggalkan ugama anutan nenek moyangnya dan men'dapat'kan saya. Keluarga, katanya bukan penghalang cita dan cintanya tetapi oleh kerana tidak mahu merosakkan rumahtangga saya, itulah yang menghalang.

"Ah Yong, Ah Yong...awak cintan sama gua apa bikin? Awak muda saya sudah 34 taun ooh, anak pun sudah ampat. Awak carilah Jacky Chan, Jet Li ka atau Andy Lau ka, awak punya bangsa sindiri la".

"En Subadri (nama saya dia tak pelat sebut), gua tak pernah jumpa lelaki tak kila China ka Melayu ka, baik macam encik. Sejak encik mali sini, gua sangat suka mali kelija pasai encik banyak ajar kami kelija. Encik banyak tahu kelija (experience), suka buat joke dan suka tolong staff. Encik tengok, kita punya business pun banyak, profit tinggi, semua olang China sini chiakap encik banyak bagus kelija. Lagipun aa, encik aa....." Ah sudah, merepek la amoi ni.

Beberapa bulan setelah saya ditukarkan ke cawangan lain, Ah Yong telah berhenti kerja di Public Finance dan membawa diri entah kemana, frust la tu....

Kedua, pada satu hari yang biasa lebihkurang pukul 3 petang, masuk ke pejabat seorang lelaki berbangsa Melayu, berkacamata bulat dan berambut lurus. Saya sangat kenal jejaka tu. Tetapi tak mungkin, apa dia buat sini, di hujung dunia ni?
MasyaAllah, dia datang dari jauh mencari saya? Sekian lama saya tak berjumpa dengan walau seorang bekas DIB coursemate (kecuali kakak ipar sayalah).


Bersambung....

No comments: