Saturday, February 20, 2010

Menoleh Kebelakang Mengimbau Kenangan Silam 3



Hidup Berkerjaya & Berkeluarga

Pada 10hb September 2008, genaplah 18 tahun saya berkerja dengan Public Bank Berhad (PBB). Mengambil kira tempuh 4 tahun 6 bulan saya berkerja dengan Sim Lim Finance yang kemudian menukar namanya kepada Visia Finance Berhad sebelum saya menyertai PBB, maka sudah 22 tahun 6 bulan saya bekerja di industri kewangan/perbankan.

Sungguhpun sewaktu di zaman persekolahan abah selalu membawa saya menemaninya ke bank untuk mengambil gaji, tidak pernah terlintas di hati maupun menjadi cita-cita saya hendak bekerja di bank. Namun, saya begitu kagum dengan tahap professionalisma pekerja-pekerja bank, lebih-lebih lagi pegawai-pegawai lelaki yang kelihatan tampan bertali-leher sambil memberi arahan kadang-kadang memberi penerangan kepada pelanggan bank.

Hari ini, saya bersyukur kepada Allah s w t kerana dengan izin dan rahmat Nya, saya berjaya menempuh seribu satu peristiwa yang menjadi pengalaman suka duka dalam kerjaya sektor kewangan yang saya ceburi ini. Saya diberi kesempatan untuk bekerja dan berurusan dengan manusia yang datang dari latar belakang yang berbeza-beza. Juga, saya berpeluang bekerja di beberapa bandar yang jauh dari Kuala Lumpur, kota metropolitan di mana saya dibesarkan. Tanpa saya sedari, setelah lama menetap di bandar-bandar kecil ini, telah banyak mempengaruhi corak kehidupan dan peribadi saya.

Saya mula tertarik dengan kehidupan yang jauh dari hingar-bingar kota yang sentiasa sesak, sibuk, pantas dan panas. Saya mula benci kepada wajah-wajah Kuala Lumpur yang pada suatu masa dahulu adalah taman besar permainan saya. Sesungguhnya, saya percaya dan yakin, semua yang telah saya lalui adalah berkat dan restu allahyarhamah emak dan abah.

Klang Bandar DiRaja - inilah bandar pertama tempat saya mula bekerja. Banyak pengalaman yang saya dapat seperti tinggal di rumah bujang selama dua bulan, belajar memandu dan seterusnya dapat lesen memandu dan of course berjumpa tunang!

Petaling Jaya (PJ) - beberapa bulan selepas mendirikan rumahtangga, saya dipindahkan ke cawangan Seksyen 14 Petaling Jaya. Bandar besar, perniagaan pun rancak. Sayang, pengurus perempuannya "bossy"lah. Kebetulan, isteri berpindah ke cawangan PJ juga. Faham-faham sajalah, baru kahwin kerja berdekatan pula, lunch sama-sama hari-hari. Beli kereta yang pertama.

Tampin - Pekan sempadan antara NS dan Melaka. Tinggalkan Lembah Klang dan menyewa rumah teres empat bilik yang sewanya cuma RM150 saja. Tanggungjawab di pejabat lebih berat di mana melainkan akaun, saya ditugaskan menjaga pinjaman sewa-beli, mesin ATM, pinjaman perumahan dan deposit/kaunter.

Ingat lagi saya, polis talipon pukul 2 pagi, katanya, alarm pejabat bunyi, satu Tampin bising. Bila saya pergi nak matikan alarm, kereta peronda dah tunggu - selamat rasanya. Kek Tampin jugolah den tukar kereto - Proton Saga baru - RM29,000 mahal tu. Dikurniakan anak kedua dan ketiga. Bila isteri di kampung melahirkan anak, tinggallah saya sorang-sorang di Tampin. Masak dah lah saya tak pandai, saya melantak mee maggi ajalah. Apo nak buek? Tampin ni dekat dengan Melaka, saya pun selalu ambik kesempatan ke Melaka Bandaraya Bersejarah bawa isteri dan anak-anak yang masa tu kecil lagi, tak banyak cerita. Sebelum ni, saya dengar saja Melaka, Muar, PD, Kuala Pilah, Tangkak, Seremban, Linggi, Jelebu, Rembau. Tak disangka-sangka, akhirnya saya sampai juga pekan-pekan tu. Minah Tampin? Boleh tahan jugak. Baik jugalah saya dah kahwin, kalau tak, "masuk suku" lah den. Satu hari dalam bulan apa saya pun dah tak ingat tahun 1993, dapat berita saya akan dinaikkan pangkat ke assistant manager di cawangan Bentong, Pahang. Serba salah saya dibuatnya. Dah best-best kek Tampin, kawan dah ramai, jiran pun baik semuo, arnab yang saya bela pun dah beranak-pinak, isteri saya pun dah serasi kerja di Bank Islam Tampin, tiba-tiba berita ni sampai pulak. Camano ni? Nak pergi ke tak nak pergi? Akhirnyo......


bersambung

No comments: