Friday, February 26, 2010

Menoleh Kebelakang Mengimbau Kenangan Silam - Episod Akhir



Begitulah serba ringkas kisah kehidupan lampau, pengalaman hidup saya yang dapat saya dokumentasikan buat bacaan sahabat-sahabat semua. Saya ucapkan terima kasih kepada anda yang sudi meluangkan sedikit masa membacanya yang saya pasti, tidaklah sehebat manapun berbanding dari kisah dan pengalaman hidup anda semua. Masing-masing punya keistimewaan yang tersendiri. Apa yang penting ialah sejauh mana kita dapat pelajari dan mengambil iktibar dari setiap apa yang kita lalui. Yang baik jadikan teladan dan yang tidak, kita jadikan sempadan. Banyak lagi kisah-kisah yang mungkin dapat saya ringkaskan dalam format nombor seperti berikut :-

1. Yang Jahil

Tahun 1987, ambil ujian memandu kereta 2 kali baru lulus. Yang pertama tak lulus sebab saya cuma berselipar Jepun ketika mengambil ujian jalanraya.

2. Yang Menguji Tahap Kesombongan Diri

Tahun 1987 juga, saya mewakili Visia Finance (nama baru Sim Lim Finance) dalam kejohanan olahraga Antara Syarikat Kewangan Malaysia yg pertama di Kompleks Sukan Kg Pandan. Menang pingat emas dalam acara-acara favourite saya lompat jauh dan lompat kijang. Peserta-peserta lain dari Mayban Finance, Arab M'sian, Public Finance, MBf dan beberapa lagi yang established duduk berkumpul sesama mereka, tak campur dengan peserta-peserta dari finance companies yang nyamuk macam kami ni, sambil memperagakan pakaian sukan mereka yang canggih manggih. Namun, bila acara bermula, saya kasihan melihat mereka berhempas pulas cuba menyaingi jarak lompatan saya kerana apa yang mereka tak tahu ialah saya adalah pelompat kijang yang kelapan terbaik di Malaysia pada waktu itu.

3. Yang Merobek Perasaan

Tanggal 30 April 1993 setelah mendapat panggilan kecemasan, saya kembali dari Tampin untuk berada di sisi emak menemaninya yang semakin tenat di Wad Padeatrik, HKL. Tiba detik jam 12.30 pagi 1 Mei 1993, selepas 30 tahun berjuang melawan penyakit diabetik, emak kembali kerahmahtullah menyahut panggilan Illahi. Abah biarkan sahaja saya menangis, mengalirkan airmata hingga jenazah emak selesai di semadikan. Abah kata, allahyarhamah emak memang 'menunggu kepulangan' saya di sisinya. Kerana kemahuan emaklah saya memilih kursus DIB dan kerana mengambil kursus DIB lah saya telah ditemukan dengan insan-insan hebat, anda semua.

4. Yang Mencapai Cita-Cita

Tahun 1998, memiliki sebuah kereta baru Ford Laser yang saya idamkan sejak dari zaman belajar di ITM lagi.

5. Yang Melebihi Jangkaan

6/1/2006, anak ke-7, Siti Raudhatul Iman lahir ke dunia. CEO Public Bank suruh achieve target business, yang dia tak suruh over achieve target jumlah anak!

6. Yang Berserah Diri Kepada Allah

Bersama keluarga pada waktu malam pulang dari rumah Azhar @ Pinky di Kulim hendak balik kerumah adik ipar di Kuala Ketil. Saya tersilap ambil jalan lalu tersesat dalam kegelapan malam di tengah-tengah estet besar. Jam sudah pukul 11 malam, hujan renyai dan jarum meter minyak sudah hampir E.

7. Yang Selalu Saya Nasihatkan Kepada Anak-Anak

Jangan ulangi kesilapan dan kesalahan yang telah Abah lakukan dahulu. Kejayaan abah yang tidak seberapa ini kalian contohilah dan perbaiki prestasinya. Suatu waktu dulu Abah pun pernah jadi anak macam kalian dan suatu hari nanti kalian pula akan jadi dewasa macam Abah, maka janganlah kalian sangsi akan apa yang abah dan mama nasihati, arahkan atau perintahkan. Selalu imbangi apa sahaja yang kalian buat dalam kehidupan dan percayalah akan setiap apa yang terjadi kepada kita tidak akan ia terjadi melainkan dengan sebab, hanya untuk kalian menyedari dan menginsafinya.

No comments: